PETALING JAYA: Kadar gaji minimum RM1,700 yang diumumkan kerajaan walaupun melegakan tetapi masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hi dup yang semakin meningkat di bandar-bandar besar khususnya bagi golongan muda.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebahagian besar pekerja terpaksa mengubah gaya hidup secara drastik termasuk melakukan dua pekerjaan, membawa bekal ke tempat kerja, memasak sendiri dan menangguhkan perkahwian bagi mengumpul wang demi kelangsungan hidup di kota metropolitan.
Mohammad Noriman Ahmad Zarkhoni, 22, melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai penghantar makanan dan operator kilang.
Katanya, pendapatan sebagai penghantar makanan hanya sekitar RM1,500, sedangkan komitmen bulanannya lebih daripada itu.
Mengakui penat tetapi dia tiada pilihan selain buat dua kerja dalam satu masa.
“Pengurusan masa amat diperlukan bagi mengelakkan rasa tertekan. Setakat ini saya mampu.
“Namun berharap penambahbaikan dapat dilakukan terhadap gaji minimum, lebih-lebih lagi kos sara hidup di ibu kota tidak sama dengan di luar bandar,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula 1 Ogos sebagai langkah penstrukturan ekonomi bagi membolehkan rakyat menikmati pendapatan lebih bermakna, merangkumi semua majikan.
Kegagalan mematuhinya merupakan kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan berterusan, dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Muhd. Rafiq Ridzuan Zainatul Rahman, 25, pula terpaksa menangguhkan impiannya untuk berkahwin berikutan pendapatan bulanan sebagai penghantar makanan tidak mencukupi untuk simpanan perkahwinan.
Katanya, niat untuk berkahwin itu ada tetapi mengenangkan wang simpanan yang masih belum cukup, dia memilih untuk membuat tabungan bagi menampung segala kos majlis perkahwinan itu kelak.
“Saya kira penangguhan lebih baik buat masa sekarang kerana kos hidup yang semakin meningkat. Untuk itu saya perlu bekerja dalam tempoh yang agak lama bagi mencukupkan wang simpanan,” katanya.
Nurain Syamila Mohd. Zamri, 24, turut mengambil pendekatan menangguhkan segala bentuk perbelanjaan bukan keperluan termasuk membeli baju dan alat elektronik.
Katanya antara dilakukan ialah membawa bekal ke pejabat dan mengelakkan daripada minum minuman manis yang lebih mahal.
“Selain aspek pemakanan, saya elak berbelanja untuk hal tidak penting. Gaji minimum sekarang belum cukup, patut dinaikkan kepada RM2,000 hingga RM2,500,” katanya.
Nor Amin Amat Salleh, 23, yang bekerja di bahagian pentadbiran, sering melakukan kerja lebih masa untuk menambah pendapatan sekitar RM500 hingga RM700 sebulan.
Mengakui agak sukar tetapi ada banyak komitmen termasuk membantu keluarga.
Sementara itu, Amirul Haziq Ahmad Husainy, 23, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah berkata, pendapatannya yang hanya sekitar RM1,700 sebulan tidak mencukupi menyebabkan beliau terpaksa membawa bekal ke tempat kerja.
“Sekarang semua barang keperluan mahal menyebabkan saya kurangkan makan di restoran atau gerai. Sebaliknya saya memasak sendiri di rumah sebagai langkah penjimatan,” katanya.
Langkah penjimat turut di ambil Thaqif Adib Marozi, 23, dengan memasak sendiri dan membawa bekalan ke tempat kerja.
Namun urusan memasak dilangsaikan pada hujung minggu sahaja berikutan jadual kerja padat yang tidak membolehkan dia masak banyak jenis makanan pada satu masa.
“Hari biasa saya makan sekali sahaja dan beli makanan paling murah saja. Saya berharap bahan mentah tidak dinaikkan kerana ia sumber makanan, tetapi sebaliknya berlaku. Bukan sahaja makanan siap mahal, tetapi bahan mentah di pasar pun naik harga,” katanya.
Nurkhairulaiman Najmi Md Kareen, 23, eksekutif jualan pula terpaksa berbelanja serendah mungkin, termasuk hanya membeli telur sebagai sumber makanan utama.
Dia berharap kerajaan dapat memastikan mentah sentiasa di kawal bagi memastikan rakyat sepertinya tidak terbeban hanya untuk kos makanan. – UTUSAN