PUTRAJAYA: Industri maritim negara melakar pencapaian penting apabila kerajaan memuktamadkan garis panduan gaji minimum pelaut serta memendekkan tempoh latihan kadet enjin bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Garis Panduan Gaji Minimum Pelaut Malaysia telah berjaya disepakati selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk persatuan pemilik kapal dan kesatuan pelaut.
“Kadar gaji minimum ini akan dibahagikan mengikut kategori had pelayaran kapal supaya pelaksanaannya adil kepada semua pihak,” katanya ketika merasmikan Karnival Pelaut dan Rumah Api 2025 di Marina Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu menggambarkan kesungguhan kerajaan melindungi hak pekerja maritim tempatan di samping menyeragamkan standard gaji dengan amalan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penyesuaian tempoh latihan kadet enjin yang dikurangkan daripada 12 bulan kepada enam bulan selaras dengan Konvensyen Antarabangsa Piawaian Latihan, Pensijilan dan Perkhidmatan Pengawasan untuk Pelaut (STCW).
“Penetapan baharu ini dibuat tanpa menjejaskan kompetensi pelaut malah dapat mempercepatkan laluan kerjaya pelaut muda serta meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat global,” katanya.
Katanya, kedua-dua inisiatif itu akan diperincikan melalui Notis Perkapalan Malaysia (MSN) oleh Jabatan Laut Malaysia pada suku pertama tahun depan bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan rasmi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan budaya tempat kerja yang selamat dan bebas gangguan serta diskriminasi bagi semua pelaut.
“Tema tahun ini, yang ditetapkan oleh IMO menyeru seluruh komuniti maritim antarabangsa untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi, buli dan gangguan di laut.
“Kapal mestilah menjadi persekitaran kerja yang selamat, harmoni dan menjunjung nilai kemanusiaan. Hanya melalui budaya saling menghormati dan bebas gangguan, pelaut dapat melaksanakan amanah dengan penuh iltizam dan keyakinan,” katanya. – UTUSAN










