'Jangan terikat gaji minimum RM1,700'

‘Jangan terikat gaji minimum RM1,700’

Gaji minimum
AHMAD Zahid Hamidi mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohd. Razi pada Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan menggesa majikan tidak terikat dengan peraturan gaji minimum RM1,700 semata-mata untuk menggajikan pekerja dalam pelbagai sektor kemahiran termasuk perladangan.

Sebaliknya ia perlu melihat kemahiran serta pengetahuan yang dimiliki terutama graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama bagi pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan ke atas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bertepatan dengan galakan terhadap penglibatan generasi muda dalam sektor pekerjaan berkemahiran terutama perladangan dalam menjamin pengeluaran makanan negara.

Menurutnya, ini kerana ketika ini negara bergantung kepada import sumber tenusu mencecah sehingga 94.7 peratus yang bernilai RM4.6 bilion.

“Satu lagi aspek ialah gaji premium Yang diberikan kepada mereka dan jangan terikat kepada gaji minimum RM1,700.

“Apabila kita memberikan SKM Tahap 3, apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri daripada saranan yang  dibuat oleh Majlis TVET negara, gajinya minimum adalah RM 3,000 untuk yang memperolehi SKM tahap 3 tadi manakala yang bertahap lima iaitu  setara dengan diploma.

“Lazimnya dari permintaan pasarannya cukup tinggi mencecah gaji premium sekitar RM5,000 dan itu tentunya akan dapat menarik anak muda untuk terjun dalam bidang itu dan kita harus merungkaikan permasalahan lalu dengan mewujudkan kebersamaan melalui pelbagai kementerian ke arah matlamat yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm, hari ini.

Jelasnya, usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini adalah mengurangkan kebergantungan kepada sumber import terhadap bekalan makanan termasuklah produk tenusu di negara ini sejajar dengan matlamat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Yang penting adalah untuk menentukan penggunaan bahan bahan tenusu harus dikeluarkan secara domestik. Ia sesuai dengan seruan Perdana Menteri ketika pembentangan RMK13 baru baru ini bahawa bebanan yang agak besar ialah apabila kita mengimport bahan bahan makanan termasuk tenusu dari luar negara.

“Majlis TVET Negara sedia membantu kepada institut latihan pertanian di mana pun institut itu berada untuk melatih mereka  terdiri daripada anak anak muda yang berminat dalam bidang pertanian terutama dalam bidang teknologi pertanian untuk kita bantu melalui kursus TVET,” jelasnya.

Kata Ahmad Zahid, ketika ini permintaan industri terhadap graduan TVET cukup tinggi apabila institut latihan sektor itu di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) meningkat sehingga 98.7 peratus dan purata permintaan di seluruh negara adalah 95.1 peratus.

“Itu cukup tinggi dan kita harus menggalakkan pelajar TVET termasuk yang terlibat dalam bidang pertanian untuk digalakkan mengambil kursus kursus TVET yang berteknologi tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN