Wanita China mengamuk diarah ke Hospital Bahagia   

Wanita China mengamuk diarah ke Hospital Bahagia   

LIU TING, 24, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Kajang, hari ini. -UTUSAN/Farizwan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang wanita warga China yang mengamuk dan menyerang beberapa individu menggunakan pisau di bandar Kajang 13 Ogos lalu diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak

Hakim Mahkamah Sesyen Kajang, Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tertuduh, Liu Ting, 24, menjalani pemeriksaan sebelum prosiding selanjutnya diteruskan. 

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 19 September ini bagi sebutan semula kes termasuk laporan psikiatri tertuduh.  

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia manakala tertuduh  diwakili peguam T.K Song.

Di Mahkamah Sesyen, Ting didakwa dengan lima pertuduhan cuba membunuh dua lelaki berumur 19 dan 21 tahun serta menyebabkan kecederaan kepada seorang individu berusia 35 tahun yang boleh menyebabkan kematian.

Bagi cubaan membunuh, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda.

Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang maka tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Wanita itu juga didakwa telah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berumur 60 tahun dengan menetak lengan kanan mangsa menggunakan sebilah pisau dan menggunakan senjata sama untuk menikam perut seorang lelaki berumur 27 tahun.

Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ting didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga lelaki masing-masing berusia 53, 21 dan 49 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Besar, Persimpangan Metropoint dan sebuah premis di Kajang, di antara pukul 11.39 pagi dan 12 tengahari, 13 Ogos lalu.

Baru-baru ini, tular beberapa video dalam media sosial mengenai seorang wanita mengamuk serta mengugut orang awam menggunakan pisau di Kajang.

Cubaan orang awam untuk menenangkan atau menahan wanita itu juga gagal apabila dia bertindak secara agresif dengan menghayunkan pisaunya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN