SEPANG: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang kelepok raya tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas meneliti hujahan tambahan kedua-dua belah pihak.
Mengikut pertuduhan, Aliff Syukri, 38, didakwa atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini satu muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat pada 2022 menjadi kontroversi apabila memaparkan aksi keterlaluan beberapa orang penari lelaki lembut yang disifatkan mencemari sambutan perayaan Aidilfitri serta mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – UTUSAN