Thailand kemuka lima tuntutan rundingan damai dengan Kemboja

Thailand kemuka lima tuntutan rundingan damai dengan Kemboja

ORANG ramai memerhati jambatan yang rosak selepas Thailand melancarkan serangan udara di kawasan antara wilayah Oddar Meanchey dan Siem Reap, Kemboja-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Tentera Thailand memaklumkan rundingan gencatan senjata dengan Kemboja yang bermula semalam dijangka berakhir dengan pertemuan menteri pertahanan kedua-dua negara pada Sabtu, ketika usaha dipergiat untuk menamatkan pertempuran berdarah di sempadan yang berlarutan selama beberapa minggu.

Rundingan itu bermula pada pukul 4 petang (waktu tempatan) di wilayah Chanthaburi, Thailand selepas permintaan Kemboja agar rundingan diadakan di Kuala Lumpur ditolak Bangkok.

Kementerian Pertahanan Thailand menyenaraikan beberapa tuntutan utama untuk dibincangkan menjelang mesyuarat dua hala Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan pada Sabtu. 

Menurut kementerian itu, sekiranya perbincangan di peringkat sekretariat gagal mencapai persetujuan mengenai kerangka teknikal utama seperti penempatan tentera, pihak Thailand tidak akan meneruskan mesyuarat GBC atau menandatangani sebarang perjanjian pada 27 Disember ini.

Kedua-dua negara lazimnya bergilir menjadi tuan rumah mesyuarat dua hala, dengan mesyuarat GBC terakhir diadakan pada September lalu di wilayah Koh Kong di Kemboja.

Perbincangan ini merupakan dialog dua hala pertama sejak pertempuran tercetus pada 7 Disember lalu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 44 nyawa serta menyebabkan lebih setengah juta orang awam di kedua-dua belah sempadan sepanjang 800 kilometer itu terpaksa dipindahkan.

Pertempuran selama lima hari pada Julai lalu berakhir dengan perjanjian gencatan senjata awal yang dimediasi oleh Malaysia dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 

Dalam rundingan kali ini, tentera Thailand akan membangkitkan lima isu utama antaranya penggunaan periuk api anti-personel, penggunaan tapak bersejarah sebagai kedudukan ketenteraan serta menggunakan kawasan komuniti sebagai pangkalan untuk melepaskan tembakan senjata berat, atau memindahkan semula senjata berat ke kawasan komuniti selepas tembakan dilepaskan.

Turut dikemukakan, tuntutan berkaitan penggunaan bangunan awam sebagai pangkalan ketenteraan dan stor senjata, termasuk bangunan yang dikaitkan dengan aktiviti penipuan dalam talian serta tindakan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia, dengan niat untuk memfailkan aduan terhadap Thailand apabila orang awam terbunuh.

Kedua-dua pihak sebelum ini menafikan menyasarkan orang awam dan menegaskan serangan hanya ditujukan kepada sasaran ketenteraan.

Dalam pada itu, tentera Thailand memaklumkan menguasai sepenuhnya dua buah kampung di sepanjang sempadan di wilayah Sa Kaeo dan terus berbalas tembakan serta menggunakan artileri berat dengan pasukan Kemboja di satu lagi lokasi.

Wilayah Tentera Pertama Thailand memaklumkan pada Rabu anggotanya berjaya mempertahankan Ban Khlong Phaeng di daerah Ta Phraya dan Ban Nong Ya Kaeo di daerah Khok Sung selepas beberapa hari bertempur dengan tentera Kemboja.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×