GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi bantuan lain bimbang peraturan pendaftaran baharu Israel ke atas puluhan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa (INGO) boleh menjejaskan operasi bantuan kemanusiaan di Gaza serta Tebing Barat yang diduduki.
INGO yang tidak berdaftar sebelum 31 Disember berdepan penutupan operasi di Israel dalam tempoh 60 hari, tindakan yang dibimbangi akan mengganggu penjagaan kesihatan dan perkhidmatan menyelamatkan nyawa, khususnya di Gaza.
Pertubuhan kanak-kanak antarabangsa, Save the Children, memaklumkan permohonannya masih belum diluluskan dan ia sedang berusaha melalui semua saluran sedia ada untuk mendapatkan semakan semula terhadap keputusan itu.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Diaspora dan Memerangi Antisemitisme Israel mendakwa, ketiadaan INGO yang dianggapnya ‘pertubuhan bermasalah’ tidak akan menjejaskan penyampaian bantuan kepada penduduk di wilayah berkenaan.
TERPAKSA HENTIKAN OPERASI
Menurut kementerian itu, daripada kira-kira 100 permohonan yang diterima setakat ini, 14 daripadanya ditolak, 21 lagi diluluskan, manakala selebihnya masih dalam proses semakan.
Sistem pendaftaran yang diperkenalkan pada Mac itu merangkumi beberapa alasan penolakan, termasuk menafikan kewujudan Israel sebagai negara Yahudi dan demokratik.
Antara lain, menafikan Holocaust atau serangan yang diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, menyokong perjuangan bersenjata oleh negara musuh atau pertubuhan diklasifikasikan sebagai pengganas, menyeru atau menyertai boikot terhadap Israel dan menyokong pendakwaan pasukan keselamatan Israel di mahkamah antarabangsa.
Pasukan Negara Kemanusiaan Wilayah Palestin yang diduduki, forum menghimpunkan agensi PBB dan lebih 200 organisasi tempatan serta antarabangsa, memberi amaran sistem itu secara asasnya ‘membahayakan’ operasi INGO di Gaza dan Tebing Barat.
Meskipun INGO didaftarkan di bawah sistem baharu, jumlah tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada keperluan tindak balas kemanusiaan di Gaza dan jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan segera serta asas penduduk, katanya.
Pasukan itu berkata, INGO kini mengendalikan atau menyokong sebahagian besar hospital lapangan dan pusat penjagaan kesihatan primer Gaza, termasuk tindak balas tempat perlindungan kecemasan, perkhidmatan air serta sanitasi, pusat penstabilan nutrisi untuk kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut dan aktiviti kritikal berkaitan pembersihan bahan letupan.
Ia memberi amaran sekiranya INGO dipaksa menghentikan operasi, satu daripada kemudahan kesihatan di Gaza mungkin terpaksa ditutup.
“Meneruskan dasar ini akan memberi kesan meluas terhadap masa depan wilayah Palestin, selain mengancam gencatan senjata dan meletakkan nyawa rakyat dalam risiko terutama semasa musim sejuk.
“PBB juga tidak akan dapat menampung penutupan operasi INGO sekiranya pertubuhan berkenaan digugurkan pendaftaran, dan tindak balas kemanusiaan tidak boleh digantikan oleh alternatif lain yang beroperasi di luar prinsip kemanusiaan,” kata pasukan itu.
Ia turut menegaskan Israel mempunyai kewajiban di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan rakyat Gaza menerima bekalan mencukupi.
LANJUTAN TARIKH PENDAFTARAN
Save the Children, yang menyokong keluarga di Gaza dengan bekalan air bersih, bantuan tunai, klinik kesihatan serta kawasan ibu dan bayi, mengesahkan pada Isnin, beberapa minggu lalu pihaknya dimaklumkan permohonan pendaftarannya tidak diluluskan.
“Kami sedang menggunakan semua saluran yang ada untuk memastikan keputusan ini dipertimbangkan semula, termasuk mengemukakan petisyen di mahkamah Israel.
“Walaupun kami menuntut agar keputusan ini disemak semula, kami tetap komited untuk memberikan sokongan penting dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak serta keluarga di wilayah Palestin melalui pasukan yang terdiri daripada lebih 300 kakitangan Palestin bersama rakan kongsi,” kata jurucakapnya.
Sementara itu, Médecins Sans Frontières (MSF), yang menyokong enam hospital awam dan mengendalikan dua hospital lapangan di Gaza serta merawat ratusan ribu pesakit sepanjang tahun lalu, menyatakan ia masih menunggu kelulusan pendaftaran sebagai INGO.
“Dengan sistem kesihatan Gaza yang sudah musnah, kehilangan akses oleh pertubuhan kemanusiaan bebas dan berpengalaman untuk memberikan tindak balas akan menjadi bencana bagi rakyat Palestin.
“MSF menyeru pihak berkuasa Israel untuk memastikan INGO dapat mengekalkan dan meneruskan tindak balas mereka yang tidak berat sebelah dan bebas di Gaza. Tindak balas kemanusiaan yang terhad tidak boleh terus dirobohkan,” menurut kenyataan MSF.
Jurucakap kementerian hal ehwal diaspora Israel memberitahu BBC, tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan daripada 9 September kepada 31 Disember, sebagai langkah luar biasa dan lebih lama daripada yang sepatutnya.
“Terdapat lebih daripada cukup masa untuk bertindak, dan mana-mana organisasi yang gagal berbuat demikian sekarang menunjukkan kekurangan niat baik yang jelas,” katanya.
Jurucakap itu menegaskan proses pendaftaran dijalankan oleh sebuah pasukan yang merangkumi semua badan keselamatan dan kerajaan Israel yang berkaitan.
Ia turut menafikan dakwaan mengenai penolakan secara besar-besaran, dengan menyifatkannya sebagai palsu dan mengelirukan.
“Bantuan kemanusiaan akan diteruskan tanpa gangguan. Penutupan pertubuhan bermasalah yang tujuan sebenar mereka adalah untuk menentang Israel di bawah topeng kemanusiaan tidak akan menjejaskan penghantaran bantuan yang sedang berjalan,” katanya.










