UTM hormati permintaan keluarga adakan post mortem kedua

UTM hormati permintaan keluarga adakan post mortem kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghormati permohonan dibuat ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin untuk menjalankan bedah siasat kedua dalam mencari keadilan untuk anaknya.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pihaknya tiada halangan atas kehendak tersebut setelah keluarga itu mempunyai hak berbuat demikian.

Katanya, pihak universiti mendoakan agar keputusan yang dicapai kelak dapat memberikan keadilan yang sewajarnya kepada keluarga arwah dan semua pihak.

“UTM mengambil maklum kenyataan Ummu Haiman Bee Daulatgun, ibu kepada Allahyarham Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, dalam program #JusticeForZara.

“UTM telah memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak keluarga dan turut mengambil maklum mengenai permohonan untuk menjalankan bedah siasat kedua yang akan didengarkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Kami tiada halangan dan mendoakan yang terbaik dan harap apa yang hajati keluarga dapat dipenuhi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Citra Karisma 2025 di UTM Skudai, di sini hari ini.

Khamis lalu, Ummu Haiman memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara (AG) berhubung kematian anaknya itu.

Berdasarkan afidavit, pemohon turut meminta pendengaran prosiding itu disegerakan melalui perakuan oleh peguamnya, Datuk Naran Singh.

Dia turut memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN