BATU PAHAT: Calon Perikatan Nasional (PN) DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menafikan dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, poster yang mengatakan bahawa dirinya menyokong PH sepeti tular di media sosial adalah fitnah.
Beliau berkata, poster yang memaparkan gambar beliau bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pimpinan parti dengan dakwaan ‘Bersatu isytihar sokong calon PH beramai-ramai, gelombang dari Kempas’ disebarkan secara tidak bertanggungjawab.
“Admin page ini telah membuat fitnah dan menggunakan gambar yang melibatkan saya, Tan Sri Presiden dan pimpinan lain dengan tidak bertanggungjawab. Bersatu kekal bersama PN dan tidak menyokong PH,” katanya.
Mengulas dakwaan yang mengaitkan insiden di Kempas dengan hala tuju Bersatu, Maliki menegaskan, perkara itu hanya membabitkan bekas ahli parti dan sama sekali tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.
“Perkara di Kempas melibatkan bekas ahli parti dan tidak ada kena mengena dengan hala tuju Parti Bersatu.
“Diharap semua mendapat penjelasan dan tidak percaya kepada berita tidak benar ini,” ujarnya.
Beliau berkata, Bersatu kekal komited bersama PN dan akan terus meneruskan kempen bagi memastikan gabungan itu mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tambahnya, rakyat Johor tidak sepatutnya terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu yang bertujuan mengelirukan pengundi pada saat-saat akhir kempen.
“Undilah semua calon PN . Bersatu kekal komited bersama PN dan tidak pernah menyokong PH,” katanya. – UTUSAN










