PETALING JAYA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sedang membangunkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang aeroangkasa sebagai usaha menjadikan Malaysia hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, inisiatif strategik itu bertujuan melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang diiktiraf industri selaras dengan keperluan pasaran global.
“UTeM mengenal pasti sijil kompetensi khusus yang membolehkan graduan mencapai tahap kemahiran dan pengetahuan optimum.
“Langkah ini memastikan setiap graduan mempunyai kelayakan profesional yang diiktiraf, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sokongan daripada Pusat Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) bukan sahaja membantu graduan memiliki kelayakan akademik tetapi juga mendapat pengiktirafan kompetensi yang menjadikan mereka pilihan utama industri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof. Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, NAICO komited untuk memberikan sokongan penuh dalam membangunkan kurikulum TVET aeroangkasa yang memenuhi standard dan keperluan industri.
“UTeM bukan sahaja mempersiapkan graduan yang bersedia dalam industri aeroangkasa, malah memperkukuh ekosistem TVET berteknologi tinggi yang mampu bersaing di pentas global,” katanya
Dalam pada itu, UTeM turut berkolaborasi bersama sebuah institusi dari Rusia iaitu Moscow Aviation Institute bagi memberi pendedahan global kepada pelajar melalui program mobiliti.
Program-program itu akan dijalankan sepenuhnya di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan (FTKIP).










