Usia 78 tahun tidak halang Jeffrydin terus menyanyi

Usia 78 tahun tidak halang Jeffrydin terus menyanyi

JEFFRYDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Selagi bernyawa dan Allah memberikan kesihatan, saya akan terus menyanyi,” demikian kata Raja Pop Yeh Yeh, Datuk Jeffrydin selepas lebih enam dekad dalam dunia seni sejak 1960.

Walaupun usianya sudah 78 tahun, Jeffrydin masih kelihatan sihat, bertenaga serta bersemangat untuk terus aktif dalam industri seni hiburan tanah air.

Jeffrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman berkata, beliau bersyukur kerana terus diberikan kesihatan yang baik termasuk tiada sebarang penyakit kronik.

“Selagi Allah izinkan saya kuat, saya ingin menjadi seperti penyanyi legenda, Frank Sinatra yang menyanyi sehingga usia mencecah 80 tahun.

“Usia emas ini tidak menghalang saya untuk terus menyanyi dan menerima sebarang tawaran mengadakan konsert atau hadir pada majlis keraian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Banda Hilir di sini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kenanganku dan Mas Mona itu berkata, dia akan membuat persembahan bersama 16 artis 60-an dan 70-an pada Konsert Gema Suara Emas di Dewan Yayasan Belia Dunia (WYF), Ayer Keroh malam ini.

Penyanyi kelahiran Singapura itu berharap orang ramai dapat hadir menyaksikan persembahannya serta rakan artis lain pada konsert tersebut.

Sementara itu, Pemangku Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Aziz Satar berkata, konsert tersebut merupakan kerjasama dengan WYF bersempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

“Selain Jeffrydin barisan artis bersuara emas yang akan menjayakan persembahan tersebut seperti Zalifah Ibrahim, Junainah M. Amin, Roslan Madun, J. Sham, A. Rahman Onn, S. Mariam, Musly Ramlee dan Datuk Siti Fairus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN