UniSZA perkasa pengantarabangsaan pendidikan tinggi

UniSZA perkasa pengantarabangsaan pendidikan tinggi

SEBAHAGIAN daripada 715 pelajar antarabangsa yang berdaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu terdiri daripada 706 pelajar pascasiswazah dan sembilan pelajar prasiswazah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan peningkatan 20 peratus enrolmen pelajar pascasiswazah antarabangsa menjelang 2026 khususnya dalam bidang penyelidikan teras seperti Sains Kesihatan, Peradaban Islam, Pertanian Lestari dan Inovasi Teknologi.

Naib Canselornya, Prof .Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, universiti itu memacu strategi pengantarabangsaan pendidikan tinggi bagi menyahut aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf dunia.

Katanya UniSZA turut menyumbang dalam landskap itu dengan jumlah kehadiran 706 pelajar antarabangsa pascasiswazah dan sembilan pelajar antarabangsa prasiswazah daripada keseluruhan 14,274 pelajar aktif.

“Ketika ini Malaysia menjadi destinasi pilihan lebih 155,000 pelajar antarabangsa termasuk lebih 53,000 yang melanjutkan pengajian di universiti awam.

“Komitmen ini turut disokong dengan peningkatan dana biasiswa sebanyak RM300,000 selain usaha memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa dan program mobiliti akademik,” katanya semalam.

Menurut beliau, UniSZA juga mencatat 669 penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi hasil kerjasama global sehingga Julai lalu.

“Buat masa ini, UniSZA memiliki 13 penyelidik pasca doktoral (PhD) dan 75 felo penyelidikan aktif dalam pelbagai bidang strategik,” ujarnya.

Fadzli berkata, UniSZA juga kekal komited terhadap dasar pengambilan lima hingga 10 peratus pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah sejajar garis panduan KPT bagi memastikan keseimbangan dengan keutamaan pelajar tempatan terus terpelihara.

“Hasil komitmen ini, UniSZA kini semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan terbaharu berjaya menempatkan diri dalam penarafan berprestij Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 di kedudukan 1001-1200,” katanya.

Menurut Fadzli, pencapaian khusus turut direkodkan dalam bidang Perubatan dan Kesihatan serta Perniagaan dan Ekonomi (601-800), Sains Sosial (801-1000) dan Sains Hayat (1001+).

Selain itu, ujarnya, UniSZA turut tersenarai dalam QS Asia University Rankings (641–660) serta QS World University Rankings 2026 di kedudukan 1401+, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan universiti itu dalam landskap pendidikan global.

Katanya, pencapaian ini mencerminkan kesungguhan UniSZA melaksanakan sasaran strategik ke arah pengantarabangsaan mampan, sekali gus melonjakkan nama universiti itu sebagai antara universiti awam Malaysia yang semakin terserlah di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN