Umur persaraan 65 tahun: Ramai siswazah akan menganggur

Umur persaraan 65 tahun: Ramai siswazah akan menganggur

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan muda menolak cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun kerana ia hanya menyebabkan lambakan graduan dan menjejaskan peluang mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Rata-rata golongan muda yang ditemui Utusan Malaysia menyuarakan kebimbangan sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan yang boleh melambatkan proses kemajuan negara dalam era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI)

Seorang jurutera, Mohd. Tarhamiz Hairul, 27, berkata, peluang pekerjaan seharusnya diberikan kepada golongan muda yang baru menamatkan pengajian berbanding menaikkan had umur persaraan wajib pekerja sedia ada.

“Ramai golongan muda menganggur dan terpaksa bekerja di luar bidang kerana tiada kekosongan jawatan. Kalau umur persaraan dinaikkan peluang orng muda terhad kerana jawatan sedia ada terus diisi orang lama.

“Sepatutnya golongan muda diberi lebih banyak peluang kerana mempunyai kesihatan mental dan fizikal yang kuat dan cergas berbanding warga emas,” katanya.

Bagi seorang guru, Noorfarah Wahida Zahid, 27, berkata, cadangan melanjutkan had umur persaraan bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan graduan malah boleh menimbulkan jurang kemahiran teknologi.

“Kita sedia maklum dunia sekarang berkembang pantas daripada segi teknologi dan ilmu semasa.

Golongan berusia kadang-kadang sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

“Keadaan ini menyebabkan graduan baharu yang memiliki kemahiran teknologi terkini tidak berpeluang mengisi kekosongan jawatan tersebut,” katanya.

Bagi pegawai tadbir am, Az-Zahra Khairuddin, 24, cadangan tersebut sememangnya berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan lambakan graduan.

“Jika umur persaraan dilanjutkan daripada 60 tahun kepada 65 tahun, graduan baharu akan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan. Selain itu, golongan berusia yang semakin lemah dari segi fizikal juga berisiko menjejaskan produktiviti kerja,” katanya.

Tambahnya, peluang pekerjaan untuk golongan muda tidak seharusnya dikorbankan demi memastikan pembangunan ekonomi dan daya saing negara.

Sementara itu, beberapa pekerja ditemui menyatakan tidak bersedia bekerja sehingga usia 65 tahun kerana bimbang ia menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda, selain faktor usia, fizikal dan kesihatan.

Mereka turut berpendapat, cadangan menaikkan umur persaraan tidak dibuat secara pukul rata sebaliknya hanya melibatkan sektor atau bidang kritikal yang sangat diperlukan negara.

Seorang jururawat, Norhaliza Abdullah, 50, berpendapat, cadangan kenaikan umur persaraan wajar melihat kepada jenis pekerjaan dan gred.

“Saya rasa perkara itu bergantung kepada gred. Mungkin bagi mereka yang berada pada gred 36 ke atas dalam bahagian pengurusan, beban kerja lebih kepada pemikiran, jadi mereka boleh bekerja sehingga umur 60 atau 65 tahun.

“Tapi untuk gred bawah seperti gred 29, kerja lebih menuntut kekuatan fizikal dan mental. Saya sendiri rasa umur yang ideal untuk bersara adalah 55 sebab komitmen kerja saya memerlukan tenaga fizikal dan mental yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi jururawat, Yusni Rahman, 55 turut menyatakan pendapat yang sama bahawa cadangan tersebut tidak seiring dengan kemampuan golongan berusia yang bekerja dalam persekitaran mencabar seperti kerja syif.

“Bekerja syif tidak seperti pekerjaan biasa yang mempunyai waktu rehat tetap dan ia juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan kita. Bersara pada umur 65 tidak wajar atas faktor kesihatan,” katanya.

Bagi ahli makmal, Neeta, 41, berkata cadangan itu menimbulkan kebimbangan daripada sudut kesihatan pekerja berusia.

“Kebanyakan mereka yang berusia 65 tahun sudah mempunyai penyakit kronik. Pancaindera dan tahap keupayaan fizikal juga biasanya semakin berkurangan,” katanya.

Bekas juruteknik, Poi Hong, 58, menyifatkan usia persaraan 65 tahun terlalu lama.

“Kalau orang tua bekerja sampai 65 tahun, macam mana dengan orang muda? Graduan lepasan universiti terpaksa menunggu jawatan kosong. Saya rasa 60 tahun sudah memadai, malah 58 pun boleh.

“Bahkan zaman sekarang, ada yang baru menamatkan ijazah sarjana muda juga sudah tiada peluang pekerjaan. Kita patut fikir tentang masa depan orang muda, bukan bermaksud kita pentingkan diri tetapi demi memberi peluang kepada mereka,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan kajian berkaitan cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menjelaskan, had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan Malaysia kepada negara tua. Perkara itu terkandung dalam prakarsa kesembilan RMK-13 yang memberi penekanan kepada usaha mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk kesemua rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN