Terpaksa bersaing dengan 200,000 siswazah menganggur

Terpaksa bersaing dengan 200,000 siswazah menganggur

ORANG ramai meninjau dan menyertai temuduga terbuka pada Karnival MYFuture Jobs yang menawarkan hampir 13,000 peluang kerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam tempoh terdekat bukan sahaja berhadapan kesukaran mencari kerja sesuai, tetapi mereka juga terpaksa bergelut dengan kira-kira 200,000 graduan yang masih menganggur.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, jumlah graduan menganggur itu berdasarkan angka tahun lalu termasuk mereka yang menamatkan pengajian ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020, 2021 dan pada tahun lalu.

Namun beliau menjangkakan terdapat kira-kira 250,000 peluang pekerjaan melibatkan pekerja mahir dan separuh mahir bagi tahun ini yang dijangka dapat diisi oleh kira-kira 300,000 graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Katanya, MEF juga positif peluang kerja pada tahun ini akan bertambah baik, tetapi tidak akan dapat memenuhi keseluruhan siswazah yang keluar di tahun 2023.

“Peluang graduan untuk mendapat pekerjaan di tahun 2023 adalah lebih cerah. Ini berdasarkan pemulihan ekonomi yang berjalan baik dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggarkan antara 4 peratus dan 5 peratus di tahun ini.

“Pasaran buruh yang lebih kukuh disokong oleh kedudukan ekonomi yang bertambah baik pada tahun 2022 dan langkah-langkah proaktif kerajaan perpaduan yang lebih mesra pelabur telah memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan sentimen perniagaan lebih meningkat.

“Dari segi jangka panjang, keadaan ekonomi Malaysia akan bertambah kukuh. Justeru, semua pemegang taruh sama ada rakyat, majikan, pekerja dan parti-parti politik hendaklah bekerjasama serta memberi tumpuan yang lebih untuk meningkatkan produktiviti bagi memastikan negara lebih kompetitif di pasaran antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 100,000 mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di lebih 20 buah IPT dalam minggu ini khuatir dengan peluang mereka untuk memasuki pasaran kerja yang dilihat samar-samar.

Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kebolehpasaran graduan adalah isu besar apabila saingan mendapat kerja semakin sengit terutamanya bidang tertentu yang dipilih ramai pelajar.

Mengulas lanjut, Syed Hussain bagaimanapun mengakui, pasaran buruh negara masih mengalami kekurangan dalam mengimbangi penawaran pekerjaan mengikut keluaran graduan yang keluar pada setiap tahun.

“Kira kira 1.5 peratus penjawat awam dan swasta bersara setiap tahun. Ini bermakna kira kira 232,500 pekerja daripada jumlah 15.5 juta pekerja akan bersara setiap tahun.

“Namun jumlah pekerja yang bersara tidak akan dapat menyerap sepenuhnya graduan yang keluar setiap tahun dan jumlah kumulatif graduan yang masih menganggur dari tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu kebolehpasaran hendaklah ditangani dengan lebih baik dan melibatkan majikan sektor awam dan swasta serta kolaborasi yang lebih erat dengan sektor pendidikan.

Katanya, IPTA dan IPTS hendaklah memainkan peranan dengan menawarkan pengkhususan pengajian yang selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

“Kerjasama erat antara IPT dan industri hendaklah ditingkatkan terutamanya dalam mengharungi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Industri dan IPT seharusnya mewujudkan lebih banyak makmal penyelidikan dan membenarkan lebih ramai pakar industri untuk bekerjasama dengan tenaga akademik dan pelajar untuk menghasilkan inovasi baharu.

“Berbagai kerjasama boleh dilaksanakan di antara IPT dan industri seperti pertandingan reka cipta dan inovasi produk berkaitan dengan keperluan industri yang boleh membantu kreativiti tenaga pengajar dan pelajar terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Selain itu, dalam bidang keusahawanan, industri juga boleh memberi peluang yang lebih banyak kepada para pelajar untuk menimba pengalaman terutama dalam bidang pembangunan dan pemasaran produk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN