UMT jumpa Rogadius Azizahae, spesies ikan pertama ditemukan di dunia

UMT jumpa Rogadius Azizahae, spesies ikan pertama ditemukan di dunia

Rogadius Azizahae spesies ikan pertama ditemukan di dunia. - UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  menemukan spesies ikan baharu dari keluarga flathead yang dikenali sebagai Rogadius Azizahae atau nama tempatan Baji Azizah di perairan Laut China Selatan.

Penemuan bersejarah itu adalah hasil kerjasama antara UMT dan rakan penyelidik dari Jepun dan direkodkan secara rasmi dalam jurnal saintifik antarabangsa.  Ia menjadikannya sebagai penemuan pertama spesies itu di dunia.

Spesies unik itu ditemukan penyelidik UMT, Dr. Tun Nurul Aimi Mat Jaafar pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter di kawasan perairan pantai timur Semenanjung Malaysia pada 5 Jun 2016 yang pelbagai proses perlu dilakukan sebelum ia boleh dihebahkan kepada umum.

Lebih bermakna, nama saintifik Azizahae diabadikan sebagai penghargaan kepada sumbangan besar felo penyelidik utama UMT, Prof. Dr. Siti Azizah Mohd. Nor yang merupakan tokoh terkemuka dalam bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan di Malaysia.

Tun Nurul Aimi berkata, Baji Azizah adalah spesies dasar laut yang sukar dikesan kerana bentuknya yang leper dan memiliki warna badan perang kelabu yang menyerupai dasar laut, menajdiannya bijak dalam penyamaran semula jadi di dalam pasir laut dalam.

“Penemuan ini bukan sahaja menambah khazanah biodiversiti marin negara, malah membuktikan bahawa perairan Malaysia khususnya di Laut China Selatan masih menyimpan pelbagai khazanah yang belum diterokai sepenuhnya.

“Ikan Baji Azizah bersaiz kecil dengan panjang antara 10 hingga 11 sentimeter memiliki corak garis halus gelap pada sirip pelvis dan sirip ekor perang serta putih lut sinar di bahagian tengah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. 

Sementara itu, Prof. Dr. Siti Azizah ketika ditemui berkata, dia sangat berbesar hati ikan tersebut dinamakan sempena namanya. 

“Sudah pasti saya berbesar hati dan gembira kerana penemuan ini adalah penemuan yang luar biasa dan usaha kumpulan pengkaji hidupan marin ini wajar dipuji kerana meraka adalah antara pakar yang terbaik,” katanya. 

Penemuan spesies ikan ini telah mendapat pengiktirafan daripada badan antarabangsa yang menerbitkan dan mengesahkan penamaan spesies baru (Zootaxa) sebelum diterbitkan di Journal Of Fish Biology pada 4 Ogos 2025.

Spesimen spesies baharu ini telah didepositkan dan dikatalogkan di Pusat Rujukan Dan Repositori Laut China Selatan (RRC), INOS, UMT, untuk rujukan pada masa akan datang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN