PETALING JAYA: Tanco Holdings Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan SPG Qingdao Port Group Co., Ltd. (SQPG) bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan projek Smart AI Container Port di Port Dickson, Negeri Sembilan serta usaha pengumpulan dana bagi projek itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata, perjanjian tersebut dimeterai menerusi anak syarikat 79 peratus miliknya, Midports Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) pada hari ini.
“Kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang penyertaan SQPG dalam pembangunan pelabuhan berkenaan serta aktiviti pengumpulan dana secara bukan eksklusif.
“Sebarang bentuk kerjasama atau penyertaan yang dipersetujui akan dimuktamadkan melalui satu atau beberapa perjanjian rasmi yang berasingan dan lebih terperinci,” katanya.
SQPG merupakan sebahagian daripada Shandong Port Group, sebuah perusahaan milik kerajaan China yang mengendalikan Pelabuhan Qingdao iaitu antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia.
Kumpulan itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk operasi pelabuhan, pengangkutan kargo, logistik kontena dan pukal cecair, pergudangan serta pengurusan rantaian bekalan di peringkat global.
Menurutnya, MoU tersebut akan berkuat kuasa selama enam bulan bermula dari tarikh ia dimeterai, melainkan ditamatkan lebih awal mengikut syarat perjanjian, digantikan dengan perjanjian rasmi atau dilanjutkan melalui persetujuan bertulis kedua-dua pihak.
Selain itu, Tanco berkata, MoU berkenaan hanya mengikat kedua-dua pihak dan sebarang pemindahan hak atau penyertaan kepada pihak ketiga memerlukan persetujuan bertulis daripada kedua-dua pihak.
“MoU itu bertujuan memudahkan usaha syarikat menjalin hubungan strategik dengan rakan kongsi antarabangsa yang berpengalaman dan berkeupayaan bagi menyokong pembangunan Projek Smart AI Container Port serta usaha mendapatkan pembiayaan projek.
“Dengan kerjasama ini, syarikat berharap dapat memperkukuh pembangunan projek pelabuhan menerusi penyertaan rakan strategik bertaraf global yang mempunyai kepakaran luas dalam operasi dan pembangunan pelabuhan,” ujarnya.
Dari segi kewangan, Tanco berkata, MoU itu tidak dijangka memberi sebarang kesan terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham, tahap penggearan atau pendapatan sesaham syarikat.
Dalam makluman yang berbeza, Tanco berkata, anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Tanco Supplies Sdn. Bhd. (TSSB) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Halaman Mantap Sdn. Bhd. (HMSB) bagi pembekalan sehingga empat juta tan batu perisai untuk kerja-kerja penambakan projek pembangunan Smart AI Container Port tersebut.
Jelasnya, di bawah MoA tersebut, HMSB bersetuju dan komited untuk membekalkan sehingga empat juta tan batu perisai kepada TSSB bagi kegunaan Projek Midport.
Bagaimanapun, Tanco kedua-dua pihak perlu memuktamadkan rundingan berhubung spesifikasi, kuantiti, harga, jadual pelaksanaan, syarat pembayaran dan terma penting lain dalam tempoh empat bulan daripada tarikh MOA atau tempoh lanjutan yang dipersetujui bergantung kepada keperluan input kejuruteraan bagi kerja penambakan.
“Selepas rundingan dimuktamadkan, kontrak pembekalan akan dimeterai, tertakluk kepada mandat urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) dan prosedur kelulusan dalaman TSSB.
“Tempoh pembayaran bagi pembekalan batu perisai adalah sehingga empat tahun dari tarikh kontrak dimeterai,” ujarnya.
Tanco berkata, TSSB juga perlu terlebih dahulu memperoleh kontrak pembekalan daripada MHSB atau kontraktor utama yang dilantik bagi projek berkenaan, manakala HMSB akan memastikan rizab batu perisai yang mencukupi disediakan bagi memenuhi keperluan projek.
Menurut syarikat itu, sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai kontrak pembekalan atau TSSB tidak berjaya memperoleh kontrak daripada MHSB, mana-mana pihak boleh menamatkan MoA tanpa sebarang tuntutan lanjut.
“MoA itu juga akan luput sekiranya tempoh untuk memeterai kontrak berakhir tanpa sebarang perjanjian dimeterai atau sebaik sahaja kontrak pembekalan dimuktamadkan,” jelasnya. – UTUSAN










