Saya harap sangat Anggerik akan jatuh cinta dengan muzik - Stacy - Utusan Malaysia

Saya harap sangat Anggerik akan jatuh cinta dengan muzik – Stacy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Stacy Anam menyokong tindakan rakan artis, Adira Suhaimi mendedahkan anak sulungnya, Anggerik, kepada dunia hiburan khususnya dalam bidang nyanyian sejak awal lagi susulan kejayaannya yang meraih tempat pertama dalam Talk To My Manager musim kedua itu.

Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 36, berkata, pendedahan yang diberikan oleh Adira kepada Anggerik amat penting supaya bakat terpendam yang ada di dalam dirinya dapat dilihat dan digilap pada peringkat awal.

“Kalau Anggerik tidak masuk, dia tidak akan tahu apa kelebihannya kerana dia bukan fokus dalam nyanyian sebelum ini. Namun, disebabkan Adira memberikan peluang untuk meletakkan Anggerik di situ, terkeluar semua bakat yang ada.

“Setiap anak mempunyai keinginan yang berbeza. Jadi masa dan juga hak itu sebenarnya berada pada anak itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Stacy mengingatkan bahawa perjalanan Anggerik dalam bidang seni masih terlalu jauh dan memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.

“Sebab dia masih kecil, jadi orang akan menjangkakan lebih lagi daripada dirinya. Saya berharap dia jatuh cinta dengan muzik dan dia akan buat habis-habisan dengan apa yang dia suka,” ujarnya.

Stacy berkongsi perkara berkenaan berikutan aksi Anggerik membawa lagu Aku Stacy tular di media sosial sehingga netizen melabelkan kanak-kanak berkenaan sebagai penggantinya.

Untuk rekod, Stacy Anam merupakan juara Akademi Fantasia Musim 6 yang terkenal dengan gelaran Ratu Pop Dance manakala Adira Suhaimi pula merupakan naib juara Akademi Fantasia Musim 8. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN