KUANTAN: Kerajaan negeri yakin tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mampu melonjakkan Pahang sebagai hab pelaburan, perindustrian dan logistik utama di Pantai Timur.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia didorong dengan perancangan pembangunan secara tersusun di setiap stesen menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif ini membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri secara menyeluruh.
Katanya, tujuh ECRL berkenaan iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City dan Cherating dilihat mampu menampung keperluan industri berdasarkan pembangunan berorientasikan transit (TOD)
“Stesen ECRL Bentong dihubungkan dengan Kawasan Perindustrian Bentong yang dibangunkan secara berfasa (438 ekar). Pembangunan di kawasan stesen ini akan memfokuskan kepada industri berat dan sederhana yang berpotensi memanfaatkan kemudahan logistik ECRL untuk pengangkutan serta akses pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Rizal Jamin berkaitan perancangan kerajaan negeri untuk membangunkan pusat atau taman industri sepanjang jajaran ECRL dan jenis industri dikenalpasti berpotensi untuk dibangunkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini. – UTUSAN










