JASIN: Biarpun bertubuh kerdil dengan ketinggian hanya 126 sentimeter (cm) akibat masalah dwarfisme, pelajar baharu Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Nursyahirah Najihah Muhamad Rabani, 19, tetap bersemangat meraikan Hari Kebangsaan Ke-68 bersama rakan-rakan dan pensyarah.
Lebih mesra disapa Syahirah, pelajar jurusan Sijil Teknologi Logistik itu berkata, setiap rakyat mempunyai cara tersendiri menunjukkan perasaan cinta kepada negara, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
“Setiap orang mempunyai idea tersendiri terhadap perspektif kemerdekaan sama ada mempamerkan bendera Jalur Gemilang atas kereta, tiang rumah atau di mana sahaja bagi memupuk rasa cinta kepada negara.
“Terpulang dengan cara apa sekalipun, ia terserah kepada pemikiran masing-masing untuk meraikan Hari Kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan Jalur Gemilang di KKJS di Merlimau di sini.
Syahirah berkata, ketika di kampung halamannya di Subang, Selangor, beliau tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan perarakan merdeka bersama keluarga di Dataran Shah Alam.
“Sepanjang perarakan, laungan merdeka orang awam menaikkan lagi semangat patriotisme dalam diri saya untuk menjadi lebih cinta kepada negara.
“Walaupun fizikal saya tidak seperti orang lain, ia tidak pernah menjadi penghalang untuk saya menyemarakkan rasa patriotik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KKJS, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, generasi muda kini mempunyai definisi dan pendekatan tersendiri dalam menzahirkan semangat patriotisme.
“Golongan muda sering dilabel lemah jati diri kenegaraan dan tidak berjiwa patriotik, sedangkan anggapan ini meleset sama sekali. Gen Z bukannya tidak patriotik, sebaliknya mereka menterjemahkannya mengikut cita rasa dan arus zaman,” katanya. – UTUSAN










