PETALING JAYA: Isu teknikal pada jentera KTM menjadi punca pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bergelut untuk mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan pada Grand Prix (GP) Motosikal Jerman di Litar Sachsenring, Jerman, kelmarin.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memulakan aksinya dari petak ketiga, tetapi, Hakim Danish berkata, dia berdepan masalah dengan cengkaman tayar belakang dan isu tersebut menyukarkannya memacu laju jentera ke tahap maksimum.
“Dalam perlumbaan saya cuba mengejar kelompok hadapan dan memberikan saingan sebaik mungkin. Malangnya, saya tidak memperoleh rasa yang baik terhadap cengkaman tayar belakang.
“Setiap kali saya memulas pendikit, motosikal hampir mengalami high-side, menyebabkan saya tidak dapat mengikut rentak pelumba di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Anak jati Terengganu itu menamatkan aksinya di kedudukan ke-12 dengan empat mata berjaya diraihnya dan dia kini jatuh ke tangga ketujuh dengan 86 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Kejuaraan Dunia Moto3.
Menurut Hakim Danish, secara keseluruhan, hujung minggu lalu memang cukup mencabar buatnya dan dalam setiap sesi dia bergelut dengan jentera kerana mengalami masalah gegaran setiap kali memasuki selekoh.
Namun begitu, jelasnya, pasukan tidak pernah berputus asa dan terus berusaha mencari penyelesaian pada setiap sesi.
“Ketika sesi kelayakan, kami menggunakan tayar lembut dan ia membantu saya melakukan catatan masa terpantas. Namun, berdasarkan simulasi perlumbaan pada FP2, catatan masa saya kurang kompetitif,” ujarnya.
Justeru, Hakim Danish berkata, isu teknikal yang dihadapi sepanjang di Jerman telah memberikan satu pengalaman berharga yang membentuknya sebagai pelumba lebih matang.
“Saya akan terus memperbaiki kelemahan, bekerja lebih keras dan berjuang untuk memberikan keputusan yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya,” katanya yang akan pulang ke tanah air selepas ini.
Kejuaraan Motosikal Dunia akan disambung semula selepas rehat separuh musim pada GP Great Britain, 7-9 Ogos ini. – UTUSAN










