EU pertimbang sekat import dari penempatan Israel - Utusan Malaysia

EU pertimbang sekat import dari penempatan Israel

SEORANG peneroka haram Yahudi menunggang keldainya dan menggembala ternakannya di Tebing Barat yang dijajah Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Menteri-menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) membincangkan kemungkinan mengenakan larangan import terhadap produk dari penempatan haram Yahudi, susulan tekanan daripada beberapa negara anggota blok itu.

Beberapa negara EU terma­suk Ireland, Belanda dan Sepanyol sebelum ini sudah me­ngenakan sekatan perdagangan sendiri terhadap penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki rejim Zionis,. Penempatan haram itu dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Susulan tekanan supaya EU secara keseluruhannya me­ngambil tindakan, badan eksekutif blok itu minggu lalu mengemukakan beberapa pilihan bagi mengehadkan perdagangan dengan penempatan itu, termasuk mengenakan larangan import.

“Semua pihak bersetuju keadaan di Tebing Barat benar-benar tidak boleh diterima. Apa yang berlaku di Tebing Barat sebenarnya semakin menjadikan penyelesaian dua negara hampir mustahil untuk direalisasikan.

“Terdapat banyak permintaan daripada negara anggota berkaitan larangan perdagangan dengan penempatan haram. Kita lihat sama ada pilihan yang dikemukakan sekarang akan mendapat sokongan lebih kukuh daripada negara anggota,” kata Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas pada permulaan mesyuarat di Brussels.

Bagaimanapun, diplomat berkata, perbincangan di Brussels pada Isnin dijangka tidak menghasilkan sebarang keputusan konkrit, sebaliknya bertujuan menilai sama ada terdapat sokongan mencukupi untuk meneruskan langkah itu.

Kelewatan proses perbincangan itu menimbulkan kemarahan negara-negara yang mahu tindakan lebih tegas diambil, dengan beberapa diplomat menuduh Suruhanjaya Eropah (EC) sengaja melengah-lengahkan keputusan.

Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot berkata, pilihan yang dikemukakan itu kelihatan seperti usaha simbolik bagi meredakan tekanan berban­ding keinginan sebenar untuk bergerak ke hadapan.

“Kami menyeru supaya cadangan konkrit dikemukakan,” katanya.

Sementara itu, di Brussels, masih wujud perbezaan pendapat sama ada langkah itu memerlukan sokongan semua 27 negara anggota atau hanya majoriti undi.

Israel menduduki Tebing Ba­rat sejak 1967. 

Lebih 500,000 peneroka Israel kini tinggal di wilayah itu, tidak termasuk Baitulmuqaddis Timur, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN