Bilik enjin kapal MV Berkat Tuah banjir, kru pengsan

Bilik enjin kapal MV Berkat Tuah banjir, kru pengsan

SEORANG kru kapal MV Berkat Tuah memberikan tuaman sejuk kepada rakan sekerja yang mengalami kelesuan haba (heat exhaustion) ketika bekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima anak kapal MV Berkat Tuah dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat apabila kapal tersebut mengalami kerosakan pada pam penyejukan air laut bagi sistem penyaman udara.

Kerosakan itu mengakibatkan air laut memasuki bilik enjin sehingga mengalami kebanjiran serius dan mengancam keselamatan anak-anak kapal.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, situasi sekarang kritikal dan mereka terperangkap dalam keadaan yang berbahaya serta langsung tidak sesuai untuk didiami.

Katanya, kebajikan dan nyawa para pelaut terbabit kini berada di hujung tanduk berikutan kegagalan pemilik kapal untuk mengambil tindakan sewajarnya meskipun pelbagai aduan telah dikemukakan.

“Mereka seolah-olah dibiarkan terombang-ambing tanpa pembelaan dalam menempuhi kemerosotan keadaan kapal yang semakin serius dari hari ke hari.

“Kapal tersebut kini berdepan dengan rentetan kegagalan teknikal tegar yang menjejaskan kelangsungan hidup yang ditanggung oleh lima anak kapal berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Ikmal Azam, keadaan menjadi lebih parah apabila seorang anak kapal dilaporkan pengsan ketika bertungkus-lumus menangani peningkatan paras air di bilik enjin yang semakin meningkat.

Katanya, mangsa kemudiannya terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans bagi menerima rawatan kecemasan sekali gus membuktikan tahap bahaya ekstrem yang sedang mengancam nyawa mereka di atas kapal tersebut.

“Kegagalan sistem pendingin hawa berfungsi turut menyebabkan bilik penginapan menjadi terlampau panas dan menjejaskan kesihatan mental serta fizikal kru yang terperangkap.

“Beberapa pam penting lain yang melumpuhkan operasi keselamatan domestik juga dilaporkan langsung tidak beroperasi pada masa ini,” katanya.

Katanya, insiden anak kapal yang pengsan itu adalah bukti nyata bahawa situasi itu telah bertukar menjadi ancaman langsung kepada nyawa manusia dan bukan lagi sekadar masalah teknikal biasa.

“Syarikat pemilik kapal harus segera memikul tanggungjawab bagi menyelesaikan kemelut ini tanpa bertangguh. Pihak berkuasa maritim berkaitan juga perlu segera campur tangan bagi menyelamatkan kru terlibat sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

“Piawaian keselamatan perlu dipatuhi dan kebajikan anak kapal harus menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN