Tour Gateh ketengah kraftangan kayu Terengganu

Tour Gateh ketengah kraftangan kayu Terengganu

HISHAMUDDIN Abdul Karim (tengah) melihat gambar jersi pemenang kejohanan Tour Gateh D’Tranung 2025 yang memaparkan motif seni ukiran kayu di Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Edisi ke­empat penganjuran kejoha­nan­­ lumba basikal, Tour Gateh D’Tranung 2025 tampil lebih istimewa dengan mengetengahkan tema kraftangan kayu Terengganu sebagai simbol warisan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Belia, Sukan dan Ba­dan Bukan Kerajaan (NGO) ne­geri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keunikan budaya Te­rengganu itu ditampilkan mene­rusi rekaan jersi pemenang yang me­maparkan motif seni ukiran kayu.

“Ia bukan sekadar perlumbaan tetapi satu penceritaan tentang identiti negeri kita kepada dunia,” katanya.

Menurut Hishamuddin, sebanyak 26 pasukan berbasikal profesional termasuk 14 pasukan antarabangsa mengesahkan penyertaan dalam Tour Gateh D’Tranung 2025 yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 3 November ini.

Antara yang bakal beraksi ialah pasukan ternama negara, Terengganu Cycling Team (TSG) yang muncul sebagai pilihan untuk mencabar kejuaraan.

Katanya, peningkatan pe­nyer­taan dari luar negara membuktikan kejohanan itu semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Peningkatan ini menunjukkan Tour Gateh bukan lagi acara tempatan semata-mata. Ia menarik perhatian dunia,” katanya.

Setakat ini, 10 negara telah mengesahkan penyertaan berbanding lapan negara pada edisi lalu melibatkan tiga pasukan dari Indonesia, dua pasukan masing-masing dari Thailand dan Filipina serta satu pasukan dari Singapura, Australia, Belanda, China, Hong Kong, United Kingdom dan Jepun.

Perlumbaan itu berlangsung dalam lapan peringkat merentasi semua daerah di Terengganu dengan jarak keseluruhan 910.5 kilometer sebelum menamatkan kayuhan di mercu ikonik Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Edisi kali ini turut menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM216,000 menjadikannya antara perlumbaan berprestij di rantau ini.

Tour Gateh D’Tranung yang mula diperkenalkan pada 2022 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara pelancongan sukan utama di Malaysia, sekali gus menjadi platform promosi budaya dan warisan Terengganu kepada dunia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN