KRW FC tenang tunggu 'lampu hijau' ke Liga Super

KRW FC tenang tunggu ‘lampu hijau’ ke Liga Super

MUHAMAD ZAKI HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memilih untuk kekal tenang berhubung status penyertaan mereka ke saingan Liga Super musim 2026-2027 enggan terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan.

Presidennya Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, beliau yakin Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pemegang taruh Liga Malaysia (Liga M) akan membuat keputusan terbaik dan adil untuk KRW.

Katanya, KRW FC menghormati serta menerima baik kenyataan pihak MFL, bahawa status penyertaan pasukan dalam Liga Super hanya akan diketuhui selepas badan bebas, First Instance Body (FIB) menentukan status PDRM FC pada 16 Julai ini.

“Kami menerimanya dengan penuh rasa hormat, positif serta terbuka. Kami yakin MFL sebagai badan yang menguruskan saingan liga bola sepak profesional negara akan membuat keputusan tepat, adil da bijaksana demi kepentingan pembangunan bola sepak Malaysia.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan jika KRW FC diberikan kepercayaan untuk mengisi slot Liga Super kerana kehadiran kami adalah berasaskan merit dan pencapaian di atas padang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, KRW FC telah memberikan komitmen penuh, serta berkorban dan berusaha sedaya upaya di sepanjang saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu dengan satu matlamat jelas, iaitu merebut peluang beraksi di Liga Super.

“Ia bukan sekadar matlamat pihak pengurusan bersama pemain, malah menjadi impian penyokong dan seluruh rakyat Kelantan yang sentiasa mengharapkan kelab ini terus melangkah ke hadapan.

“Takkan lari gunung dikejar. Hilang kabus tampaklah ia. Justeru saya menyeru sokongan padu penyokong serta mengharapkan doa terbaik buat KRW FC sekali gus bersedia untuk kembali mewarnai stadium keramat di pentas Liga Super,” katanya.

Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan sebanyak 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-2027 yang akan membuka tirainya pada 21 Ogos ini.

Setakat ini, sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan, manakala baki satu slot akan diketahui pada 16 Julai ini apabila FIB bersidang dan menentukan status PDRM FC yang kini diberikan lesen berserta sekatan dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai ini.

PDRM FC telah diarahkan untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi keperluan kriteria kewangan serta infrastuktur kelab, bagi membolehkan FIB bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu sepanjang musim 2026-2027.

Sekiranya PDRM FC gagal dalam penyerahan maklumat itu, slot terakhir bakal diisi oleh KRW FC yang telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan serta dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara FC dan Bunga Raya FC.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN