Peraturan baharu cabar atlet powerlifting negara

Peraturan baharu cabar atlet powerlifting negara

Bonnie Bunyau Gustin akan berdepan cabaran baharu dalam acara powerlifting di Sukan Komanwel Glasgow 2026. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem powerlifting negara optimis memiliki peluang cerah untuk memburu pingat pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, namun percaturan taktikal perlu dilakukan dengan tepat bagi memastikan sasaran dapat dicapai.

Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam berkata, faktor utama yang bakal menentukan kejayaan atlet negara bukan sahaja bergantung kepada jumlah angkatan bebanan malah turut berkait rapat dengan berat badan atlet menerusi formula yang digunakan pada temasya berkenaan.

Menurut Adam, format powerlifting Sukan Komanwel berbeza berbanding kejohanan seperti Piala Dunia dan Paralimpik kerana keputusan akan dikira berdasarkan formula berat badan.

“Untuk Sukan Komanwel, ia berbeza kerana mereka menggunakan formula berat badan yang sudah lama dipraktikkan. Atlet akan digabungkan dalam kategori 71 kilogram (kg) ke bawah dan 71 kg ke atas.

“Penilaian bukan sahaja berdasarkan jumlah angkatan, tetapi perkara paling penting ialah berat badan atlet yang turut menyumbang kepada jumlah mata keseluruhan.

“Jadi ia dipanggil formula CF. Itu akan menyumbang kepada jumlah mata dalam sukan powerlifting di Sukan Komanwel. Itu bermakna, lebih ringan berat badan anda dan lebih berat angkatan anda, itu adalah satu kelebihan,” katanya.

Sandaran utama negara diletakkan kepada Bonnie Bunyau Gustin yang akan beraksi dalam kategori Lightweight (bawah 72kg) manakala Nicodemus Maggoi Moses dan Bryan Junency Gustin akan membuat penampilan sulung mereka di temasya itu bagi kategori Heavyweight (melebihi 72kg).

Mengulas peluang mendapatkan pingat, Jamil percaya Malaysia mampu memberikan saingan sengit kepada negara-negara Komanwel lain berdasarkan kemampuan atlet yang ada ketika ini.

“Kita mempunyai peluang yang tinggi tetapi pada masa sama kita perlu sangat berhati-hati dalam membuat perancangan pertandingan itu sendiri.

“Apa yang saya boleh katakan adalah kami akan melakukan yang terbaik semasa berada di temasya itu nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN