KOTA BHARU: Seorang tok siak atau penjaga masjid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun semasa kejadian di sebuah rumah di Kuala Krai dekat sini, lima tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 51 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 13 tahun ketika kejadian apabila hubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut hukum agama dan tidak layak berkahwin. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuala Krai, kira-kira pukul 10 malam pada 25 Ogos 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










