Kluang: Tiga lelaki mengaku bersalah diatas pertuduhan berkaitan upacara pemujaan tarian kuda kepang ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat di sini semalam.
Ketiga-tiga tertuduh, Azman Mohamed Seh, 45, Muhammad Suhai Suttry Sono, 35, dan Anuar Bandi, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan penterjemah Mahkamah dihadapan Hakim Syarie Shazwan Mohd Yusof.
Ketiga-tiga mereka dituduh melakukan pemujaan salah yang bertentangan dengan syarak pada 10 Ogos pukul 10 malam hingga 11 Ogos pukul 1 pagi di Jalan Pasar, Parit Raja di daerah ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Suhail yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Azman, mekanik motosikal, didakwa melakukan upacara bertentangan dengan hukum syarak.
Anuar pula didakwa bersubahat dengan bermain alat muzik ketika upacara tersebut dijalankan.
Ketiga-tiga tertuduh dituduh mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana melakukan kesalahan berhubung dengan akidah. – UTUSAN










