KUALA LUMPUR : Polis tidak mengesan sebarang kesalahan di dalam perhimpunan berkaitan isu Allahyarham Zara Qairina yang berlangsung di hadapan Kompleks Sogo pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini tiada sebarang kesalahan dikesan sepanjang pemantauan dilakukan.
“Memang tidak ada kesalahan dikesan dan keadaan masih terkawal dengan baik. Namun, pihak polis tetap memberi peringatan jelas bahawa sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil secara serius.
“Kalau ada perhimpunan selepas ini, kami akan terus pantau dan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan keadaan teratur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, polis memaklumkan akan meneliti ucapan peserta sekiranya menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) dalam perhimpunan ‘Justice For Zara’ yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, seramai 100 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang himpunan itu berlangsung.
Kira-kira 450 peserta himpunan Justice For Zara memenuhi pekarangan pusat beli-belah Sogo sebagai tanda solidariti bagi menyuarakan keadilan untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir. – UTUSAN










