Terengganu dakwa terima 'layanan dua darjat' - Utusan Malaysia

Terengganu dakwa terima ‘layanan dua darjat’

HANAFIAH MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mendakwa menerima ‘layanan dua darjat’ dalam pengagihan projek dan peruntukan pembangunan sehingga membantutkan kemajuan negeri ini meskipun menjadi antara penyumbang utama hasil negara.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat mendakwa, situasi itu mengecewakan kerana banyak projek pembangunan yang dicadangkan berdepan proses kelulusan lambat dan syarat tambahan ketat malah ada yang dipotong dari segi skala pelaksanaannya.

“Ini bukan soal politik, ini soal keadilan kepada rakyat. Terengganu bukan anak tiri dalam Persekutuan Malaysia. Hak kita mesti dihormati dan Terengganu berhak menikmati pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain,” katanya di sini.

Hanafiah berkata, walaupun Terengganu adalah antara penyumbang utama hasil negara menerusi industri minyak dan gas, keupayaan negeri itu untuk berkembang pesat terhalang akibat layanan yang tidak seimbang daripada pihak persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman dalam Sidang Parlimen baru-baru ini.

Katanya, gesaan agar layanan yang lebih adil diberikan kepada Terengganu adalah selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan yang mana setiap negeri mempunyai hak untuk menikmati kemajuan tanpa diskriminasi.

“Kita menyumbang hasil, jadi kita berhak menikmati pembangunan yang setimpal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN