PETALING JAYA: Pelakon, Norreen Iman memohon agar orang ramai mendoakan yang baik-baik terhadap dirinya ekoran keputusannya untuk tampil dengan imej terbaharu tanpa berhijab.
Memilih untuk diam sejak kontroversi itu hangat menjadi bualan, Norreen bagaimanapun kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang melampaui batas dalam menghamburkan komen sehingga mengundang fitnah.
“Doakan yang baik-baik saja. Tapi kalau sudah tahap sampai memfitnah ini, melebih-lebih (melampau),” katanya.
Norreen berkata demikian menerusi sebuah hantaran ringkas yang dimuat naik di aplikasi Threads selepas menyedari penampilannya kini sedang hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.
Norreen bagaimanapun masih mengunci mulut dan tidak memaklumkan secara terperinci mengenai punca dirinya membuat keputusan untuk menanggalkan hijab.
Namun, perkongsian tersebut tetap meraih kecaman dalam kalangan netizen di ruangan komen yang rata-ratanya kurang senang melihat penampilannya yang kini sudah berambut pendek.
“Sudah boleh kot boikot dia ini. Jenis macam ini jangan bagi peluang. Nanti sudah tiada tawaran, pandailah dia sarung balik atas kepala itu,” kata seorang netizen.
“Mahu orang doa baik-baik, tapi tunjuk perkara perkara tidak baik dekat umum,” tulis seorang lagi netizen.
Terdahulu, nama Norreen hangat menjadi sorotan setelah tular sebuah video dirinya berambut pendek, malah ada juga foto yang memaparkan dirinya sekadar mengenakan turban dalam beberapa perkongsiannya.
Teka-teki mengenai penampilan pelakon itu mula terjawab selepas dirinya berkongsi foto mesra bersama dua cahaya matanya, Ellen dan Kimmy pada Isnin.
Noreen pernah berkahwin dengan Mohd Raizi Abd Razak pada 2011, namun sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Mei 2026.










