Kawasan sempadan tidak boleh terus tercicir

Kawasan sempadan tidak boleh terus tercicir

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan rangkaian kereta api, pelabuhan dan infrastruktur logistik di kawasan sempadan Malaysia-Thailand akan diperkasa bagi menyokong Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) serta memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul termasuk cadangan meningkatkan penggunaan pelabuhan di Thailand dan Pulau Pinang serta pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port).

“Dan ini terangkum dalam kegiatan ECRL yang juga menjurus ke situ dan Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya dikembangkan dari Tumpat ke Rantau Panjang.

“Perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, kita turut mencadangkan supaya laluan kereta api itu diteruskan ke Thailand menggunakan jajaran yang sama seperti yang sedang dibincangkan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan tentang langkah kerajaan memastikan pembangunan infrastruktur dan logistik di kawasan sempadan diselaraskan dengan pembangunan zon ekonomi sempadan.

Anwar berkata, kerajaan tidak mahu kawasan sempadan terus tercicir daripada arus pembangunan utama di samping pelbagai kemudahan seperti infrastruktur, pendidikan dan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkasakan.

“Kita tidak mahu kawasan yang tersisih dari arus pembangunan utama, sebab itu diberikan tumpuan termasuk kemudahan infrastruktur, pendidikan, latihan TVET dan sebagainya.

“Keduanya, soal peluang perniagaan bagi kalangan peniaga kecil dan sederhana, terutama di kalangan Bumiputera, kerana ini kawasan-kawasan yang dianggap kawasan Malay Belt,” katanya.

Mengulas soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) tentang adakah kerajaan membuat kajian berhubung 70 hingga 80 peratus tenaga kerja bukan profesional akan berlaku di kawasan sempadan, Anwar berkata, beliau bersetuju dan ia perlu lagi diberikan perhatian supaya ada peningkatan agar peluang pekerjaan itu juga dimanfaatkan oleh penduduk dan anak-anak muda tempatan.

“Sebab itu, saya cadangkan umpamanya bagi kerajaan-kerajaan negeri, Menteri Besar pun ada di situ tapi Kedah tak ada sebab banyak di Johor, tapi saya cadangkan supaya di sekitar kawasan pembangunan utama umpamanya, Perlis Inland Port ataupun Bukit Kayu Hitam, maknanya kerajaan negeri menyediakan tempat seperti mana yang sedang diselenggarakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan atas cadangan kita.

“Kerajaan Persekutuan boleh berikan sedikit pembiayaan untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi peniaga-peniaga kecil umpamanya di sekitar kawasan pembangunan Jambatan Baru, Rantau Panjang di Kelantan dan diadakan kedai-kedai, warung dan juga restoran dan sebagainya untuk peniaga kecil,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata, hubungan dua hala Malaysia-Thailand turut melibatkan inisiatif serantau seperti Kawasan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan Asean Power Grid (APG).

Katanya, projek Asean Power Grid melibatkan rangkaian tenaga merentasi Vietnam, Laos, Thailand, semenanjung Malaysia hingga ke Singapura, sekali gus memperkukuh hubungan tenaga di rantau ini.

“Di rantau, kita bagi keutamaan. Umpamanya ASEAN-FTA dan ASEAN Free Trade Area menjalinkan hubungan dengan beberapa negara. Malah dalam kunjung-kunjungan kita dan juga rakan-rakan sejawat ASEAN sementara dibincangkan kepentingan negara masing-masing, selalu dilebarkan kepada ASEAN.

“Umpamanya bila kita bicara soal Malaysia-Thailand sebenarnya termasuk juga ASEAN Power Grid yang melibatkan juga Vietnam. Dan jalur tenaga yang akan merentas ke semenanjung, ke Singapura dan juga yang laluan kedua melalui Laos dan Thailand,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN