SUBANG: Pelakon, Elfira Loy, bersyukur apabila kerjayanya sebagai pelakon kanak-kanak suatu ketika dahulu sentiasa dijaga rapi, malah mengakui industri ketika itu mempunyai layanan yang berbeza termasuk melindungi hak serta kebajikan pelakon cilik sepanjang bekerja.
Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, berkata, setiap penggambaran dipantau ibu bapa, manakala pergerakan dan tingkah laku mereka turut diberi perhatian oleh kru produksi.
“Dulu kami bukan terlalu bebas. Kami tidak datang ke lokasi penggambaran sendiri dan kemudian buat hal masing-masing. Kami ada runner.
“Ke mana-mana, runner akan menghantar dan membawa kami pulang ke rumah. Kami juga tidak boleh merayau sesuka hati. Jadi, saya boleh katakan semuanya lebih teratur ketika itu,” katanya.
Elfira berkata demikian ketika ditemui pada acara Blossom Rally Pickleball 2026 anjuran Akademi Sang Putra dengan kerjasama Persatuan Pickleball Putrajaya di Tomaz Pickleball Club, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Elfira berkata, kehadiran ibunya yang sentiasa menemani di lokasi penggambaran memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan terhadap dirinya.
“Ketika itu, banyak drama membabitkan pelakon kanak-kanak dan setiap produksi mempunyai garis panduan yang jelas. Sebagai pelakon kanak-kanak, kami tahu mereka sangat tegas.
“Walaupun saya bermula awal dalam industri, ke mana-mana pun saya sentiasa ditemani ibu. Jadi, saya sentiasa berada di bawah jagaan ibu bapa dan semuanya memang terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Elfira berkata, pelakon kanak-kanak pada zaman tersebut turut menjaga tingkah laku kerana bimbang dikenakan tindakan termasuk disenarai hitam oleh syarikat produksi sekiranya terpalit dengan kontroversi.
“Kalau sekali sahaja terbabit dengan gosip atau perkara buruk, kita boleh disenarai hitam. Tidak macam sekarang, semakin banyak gosip, semakin banyak pula tawaran kerja.
“Mungkin itu antara sebab mengapa perkara seperti ini semakin tidak terkawal atau ada yang tidak lagi sedar bahawa sebagai anak seni, kita perlu menjaga imej sebagai keutamaan,” katanya. – UTUSAN










