TAMPIN: Tentera Darat akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) latihan operasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) susulan kematian seorang pelatih kadet di Johor, baru-baru ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, latihan operasi tempur sememangnya berisiko tinggi kerana melibatkan penggunaan peluru hidup, namun ia menjadi komponen penting dalam membentuk daya tahan, keyakinan, serta keberanian pegawai kadet sebelum mereka ditauliahkan.
Menurutnya, setiap sesi latihan membabitkan seramai 112 pegawai kadet diselia rapi oleh lebih 20 pegawai dan jurulatih berpengalaman bagi memastikan keselamatan peserta. Tempoh latihan pula singkat, sekitar 15 minit sahaja, tetapi intensitinya tinggi.
“Kita akan teliti semula SOP ini daripada semua aspek, termasuk pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada setiap pegawai kadet sebelum latihan dimulakan. Walaupun secara umum mereka dihantar dalam keadaan sihat dan ‘fit for training’, langkah pencegahan tambahan wajar diambil,” katanya selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Mangsa, Kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Johor.
Kes kematian itu mencetuskan tanda tanya selepas ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa kecederaan yang ditemui pada jenazah anaknya tidak selaras dengan maklumat awal bahawa punca kematian adalah akibat sawan.
Beliau menuntut siasatan segera dan telus agar keluarga mendapat jawapan yang jelas.
Muhammad Hafizuddeain berkata, Tentera Darat memandang serius insiden tersebut kerana walaupun Allahyarham masih berstatus pelatih kadet, beliau sudah dianggap sebahagian daripada warga Tentera Darat.
“Kita sedih dan kesal dengan kejadian ini. Saya mohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sebelum keputusan siasatan dimuktamadkan. Biarlah proses ini selesai terlebih dahulu demi menghormati perasaan keluarga dan pihak terlibat,” katanya.
Menurut beliau, keputusan siasatan oleh lembaga yang telah ditubuhkan akan dimuktamadkan hari ini. Katanya lagi, apa juga keputusan kelak diharap dapat menutup ruang spekulasi negatif, sama ada terhadap pihak universiti, Tentera Darat mahupun pihak penganjur latihan. – UTUSAN










