PENGUMUMAN tujuh inisiatif pemerkasaan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Khaled Nordin sempena Syarahan Eksekutif PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini perlu dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam agenda pembangunan bakat negara.
Inisiatif tersebut bukan sekadar penambahbaikan terhadap struktur dan pelaksanaan PALAPES, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar tentang bagaimana negara perlu melihat peranan mahasiswa dalam ekosistem keselamatan dan pertahanan masa hadapan.
Ia membuka ruang untuk kita melihat PALAPES bukan sekadar sebagai sebuah program kokurikulum atau latihan ketenteraan di universiti, tetapi sebagai platform pembangunan bakat yang berpotensi menjadi talent pipeline kepada Angkatan Masa Hadapan.
Langkah seperti penambahbaikan insentif, laluan khas ke Angkatan Tetap, peluang pertugasan sepenuh masa, latihan industri bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pemerkasaan laluan kerjaya dalam Angkatan Sukarela merupakan perkembangan yang amat positif.
HALA TUJU
Khaled ketika berucap berkata, lepasan pegawai PALAPES akan diberikan laluan khas serta pengecualian beberapa ujian untuk pemilihan ke Skim Graduan (GO) sebelum diserapkan ke Angkatan Tentera.
Penglibatan dalam PALAPES bukan sekadar pengalaman sepanjang berada di kampus, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada pembangunan kerjaya dan perjalanan profesional mereka selepas bergraduasi.
Atas sebab itu, usaha untuk menghubungkan pengalaman PALAPES dengan pembangunan akademik dan kebolehpasaran graduan perlu diberikan perhatian secara serius.
Pengiktirafan penyertaan PALAPES sebagai aktiviti kokurikulum dan potensi pemberian jam kredit akademik, tertakluk kepada kelulusan institusi pengajian tinggi, merupakan antara langkah yang boleh membantu memberikan nilai tambah kepada mahasiswa.
LATIHAN INDUSTRI
Cadangan untuk membolehkan kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bukan sahaja dapat memberikan pengalaman kepada mahasiswa terhadap persekitaran tugas sebenar, malah dapat merapatkan hubungan antara universiti dan ATM.
Melalui latihan industri, mereka dapat melihat sendiri bagaimana organisasi pertahanan beroperasi, cabaran yang dihadapi serta keperluan kemahiran yang diperlukan dalam persekitaran sebenar.
Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk universiti memahami dengan lebih jelas keperluan masa hadapan ATM.
Universiti boleh menyediakan kepakaran dan bakat, manakala ATM pula dapat memberikan perspektif operasi serta keperluan sebenar dalam bidang pertahanan. Gabungan ini boleh menghasilkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih berkesan dan relevan.
PASCA GRADUASI
Pembangunan sistem seperti OVERWATCH yang membolehkan status, penempatan dan penglibatan pegawai muda lepasan PALAPES dipantau dengan lebih teratur merupakan satu langkah yang penting.
Kita perlu memastikan perjalanan seorang kadet tidak berakhir apabila beliau menerima ijazah dan meninggalkan kampus.
Sebaliknya, pengalaman, kepakaran dan semangat patriotisme yang dibina sepanjang penglibatan dalam PALAPES perlu terus menjadi aset kepada negara. Negara telah melabur dalam pembangunan mereka.
Universiti telah memberikan ilmu dan kepakaran. PALAPES pula telah membentuk disiplin, kepimpinan dan ketahanan.
Justeru, adalah penting untuk memastikan bakat yang telah dibangunkan ini terus mempunyai ruang untuk menyumbang selepas bergraduasi.
EKOSISTEM BERSEPADU
Kita perlu membangunkan ekosistem PALAPES yang lebih bersepadu dengan menghubungkan latihan ketenteraan, akademik, penyelidikan, inovasi, industri dan pembangunan kerjaya.
Setiap universiti mempunyai kekuatan dan kepakaran tersendiri. Ada universiti yang mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Ada yang unggul dalam bidang perubatan, sains sosial, keselamatan, komunikasi, teknologi maklumat dan pelbagai disiplin lain.
Kekuatan ini boleh dimanfaatkan bagi membangunkan kepakaran yang menyokong keperluan pertahanan negara. Pendekatan ini juga akan menjadikan PALAPES lebih relevan kepada generasi mahasiswa masa kini. Penyertaan mereka dalam
PALAPES bukan sekadar memenuhi tuntutan latihan, tetapi merupakan peluang untuk membangunkan diri, membina kompetensi dan menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.
MASA DEPAN
Akhirnya, kita perlu kembali kepada persoalan asas: Apakah bentuk manusia yang ingin kita lahirkan melalui PALAPES? Jawapannya bukan sekadar pegawai kadet.
Kita mahu membentuk manusia yang mempunyai disiplin, keberanian, ilmu dan rasa tanggungjawab kepada negara.
Kita mahu melahirkan graduan yang mampu memimpin dalam keadaan sukar, membuat keputusan secara matang dan menggunakan ilmu serta kepakaran mereka untuk menyelesaikan masalah.
Dengan tujuh inisiatif pemerkasaan yang telah diumumkan, kita kini mempunyai peluang untuk membawa PALAPES ke satu tahap yang lebih tinggi.
Daripada sebuah program pembangunan mahasiswa, PALAPES berpotensi menjadi sebuah talent pipeline strategik kepada Angkatan Masa Hadapan.
Universiti pula mempunyai peranan besar untuk memastikan anak-anak muda kita bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai disiplin, ketahanan dan kesediaan untuk menyumbang apabila negara memerlukan mereka.
Masa depan pertahanan negara bukan hanya dibina di medan latihan. Ia juga sedang dibentuk di bilik kuliah, makmal penyelidikan, pusat inovasi dan universiti.
Melalui pemerkasaan PALAPES yang lebih strategik dan menyeluruh, kita mempunyai peluang untuk menghubungkan semua kekuatan tersebut demi membina Angkatan Masa Hadapan yang lebih bersedia, berkeupayaan dan berdaya tahan. – UTUSAN
Lt. Kol. Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkap Komandan PALAPES UniMAP.










