TAMPIN: Penggunaan teknologi dron, Flyeye UAS yang merupakan perolehan aset baharu Tentera Darat menjadi antara tarikan dalam pertunjukan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini, hari ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, dron itu digunakan dengan berkesan untuk melaksanakan misi target acquisition (mengenal pasti, mengesan dan mengunci sasaran)
dan battle damage assessment (penilaian kemusnahan) secara masa nyata.
Menurutnya lagi, tentera darat tidak boleh lari daripada penggunaan teknologi dan sistem kecerdasan buatan (AI) yang digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di mana-mana negara.
“Kita hendak pastikan bahawa pasukan kita sentiasa bersedia atau mempunyai peralatan (aset) melibatkan teknologi dan AI sebagai tujuan sama ada risikan, pemantauan ataupun peninjauan.
“Ini sekali gus dapat memastikan kita mampu beroperasi di dalam pelbagai domain bukan sahaja domain daratan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Yang turut hadir menyaksikan latihan yang disertai oleh 2,500 anggota dan pegawai ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, buat julung kalinya, LKT mendapat penyertaan bersejarah daripada askar Timbalan Setia Negeri Johor.
“Penglibatan mereka dalam segmen Direct Fire Support Base membuktikan semangat kerjasama pertahanan yang utuh,” katanya.
Ujarnya, LKT juga merupakan latihan bagi memastikan anggota tentera darat sentiasa bersedia pada setiap masa.
“Tentera Darat akan sentiasa memastikan anggotanya sentiasa berada dalam siap siaga pada setiap masa dengan siri-siri latihan yang kita aturkan.
“Sekiranya diperintahkan, kami akan sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana pihak kekuasaan yang lain dalam memelihara ketenteraman, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, tentera darat sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan untuk membekalkan pesawat yang mempunyai keupayaan dan ciri-ciri yang memenuhi spesifikasi terutamanya helikopter Black Hawk.
“Blackhawk ialah helikopter yang memenuhi ciri-ciri atau spesifikasi yang kamonharapkan. Namun, kami tidak menolak kemungkinan ada helikopter daripada jenis-jenis lain pada proses tender semula nanti,” katanya. – UTUSAN










