Tarikan sawah padi mini di Felda Bukit Sagu

Tarikan sawah padi mini di Felda Bukit Sagu

MANSOR Rejab (kanan) menerima kunjungan Pengurus Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Wan Mohd. Hairee Wan Ab. Razak (kiri) di sawah padi dalam kawasan inap desa miliknya di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengalaman sebagai pesawah di kampung halaman di Kedah, sebelum menjadi peneroka di Tanah Rancangan Felda memberi idea kepada seorang warga emas, Mansor Rejab, 73, membina inap desa berkonsepkan kampung tradisi lengkap dengan sawah padi.

Terletak di Felda Bukit Sagu 2 dan 3, Inap Desa Tok Wan menyediakan pakej penginapan unik yang mana pengunjung berpeluang merasai pengalaman melakukan aktiviti mengetam, menampi serta menumbuk padi dengan lesung kayu.

Mansor berkata, walaupun bendang yang terletak dalam kawasan inap desanya itu hanya sekangkang kera, ia dapat memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang belum pernah melihat cara pemprosesan padi dengan kaedah tradisional.

Katanya, sawah padi itu pada asalnya diwujudkan untuk penyertaan pertandingan peringkat Felda, namun apabila melihat minat pengunjung terhadap aktiviti tersebut, dia mengekalkannya sebagai sebahagian daripada pengalaman inap desa.

“Pernah ada pelawat tanya saya, ini pokok rumput ke? Mereka tidak kenal pokok padi. Jadi saya cakap, ini pokok beras. Mereka terkejut dan teruja. Daripada situ saya nampak ramai sebenarnya tidak pernah tengok pokok padi secara dekat.

“Sebab itu saya kekalkan sawah ini dan kita ajar mereka cara menuai, menampi serta menumbuk padi secara tradisional. Walaupun hasilnya tidak banyak sekitar 20 hingga 30 kilogram sahaja tetapi cukup untuk beri pengalaman berharga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mansor berkata, sawah padi mini itu diusahakan atas tanah paya terbiar manakala pengairannya pula menggunakan sumber air paip dan boleh diusahakan sehingga tiga kali setahun bergantung kepada cuaca.

“Kami tidak komersialkan, hanya untuk pengunjung. Kalau ada hujan, kami guna air hujan dan kalau cuaca panas, kami guna air paip. Insya-Allah boleh buat sampai tiga musim setahun,” katanya.

Antara peralatan yang digunakan ialah renggam, alat kayu untuk mengetik padi bagi memisahkan biji daripada tangkai serta lesung tangan dan kaki yang digunakan untuk menumbuk padi menjadi beras, malah semua peralatan itu adalah ha­sil tangannya sendiri.

Selain penginapan dan sawah padi, dia turut membina rumah rakit dan kebun, selain haiwan ternakan bagi melengkapkan lagi suasana kampung di inap desa miliknya.

“Inap desa ini saya bangunkan perlahan-lahan sejak empat tahun lalu. Dulu saya ternak lembu, tetapi bila tenaga sudah kurang, saya fokus pada pelancongan. Sekarang sambutan pelawat semakin baik dan saya bercadang tambah dua lagi bilik penginapan,” katanya.

Katanya, perancangan masa depan termasuk pembinaan trek untuk kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV) serta tanaman anggur dan strawberi menggunakan konsep rumah hijau, dijangka dilaksanakan tahun depan dengan kerjasama Felda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN