PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau menerima ‘lampu hijau’ daripada ibu bapanya untuk meneruskan perancangan perkahwinannya bersama tunangnya, Bella Astillah.
Katanya, isyarat positif itu diterima setelah selesai melakukan sujud syukur apabila Mahkamah Persekutuan membebaskan dan melepaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
“Selepas saya turun tadi dan selesai melakukan sujud syukur, ayah dan ibu saya memberi isyarat yang positif.
“Alhamdulillah, lampu hijau itu masih ada,” katanya kepada pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya selain Bella Astillah yang disifatkannya sentiasa berada di sisi sepanjang beliau berdepan proses perbicaraan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang sentiasa berada di sisi. Bukan mudah kerana sebelum dia bersama saya, ramai melihat saya sebagai seorang penjenayah.
“Namun, dia tetap bersama saya dan saya tidak pernah melupakan semangat serta pengorbanannya,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, salah guna dana Armada dan pengubahan wang haram. – UTUSAN










