Tarif import cip semikonduktor: Malaysia tunggu keputusan rasmi AS

Tarif import cip semikonduktor: Malaysia tunggu keputusan rasmi AS

ONN Hafiz Ghazi dan Tengku Zafrul melakukan gimik perasmian sempena Majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus di Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J), Forest City 1, Gelang Patah, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Malaysia masih menunggu keputusan rasmi mengenai kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilaporkan mahu mengenakan sehingga 300 peratus tarif ke atas import cip semikonduktor ke AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya belum menerima makluman rasmi daripada Washington berhubung perkara itu.

“Buat masa ini belum ada lagi apa-apa keputusan daripada AS, jadi kita tunggulah. Kita kena tunggu kenyataan rasmi Presiden Trump sendiri,” katanya kepada media. 

Terdahulu, Tengku Zafrul melancarkan Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) di Forest City, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad.

Pada Jumaat lalu, Trump mencadangkan mahu memperkenalkan cukai ke atas import semikonduktor sehingga 300 peratus sebagai sebahagian daripada strategi ‘America First’ dan usaha untuk memperkukuh industri pembuatan cip dalam negara.

Menurut laporan daripada syarikat perkhidmatan kewangan, AS mengimport kebanyakan semikonduktor dari Taiwan, Malaysia, Israel, Korea Selatan dan Ireland.

Dianggarkan 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS adalah daripada syarikat AS yang beroperasi di Malaysia.

Menurut Tengku Zafrul, prestasi pelaburan di Malaysia bagi tempoh suku kedua tahun ini akan diumumkan pada Jumaat ini dan prestasi pelaburan di Johor menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh itu.

“Di Johor, pelabur dapat dilihat ekosistem yang lengkap untuk membangunkan syarikat mereka dengan pelbagai kemudahan disediakan.

“Pembangunan ekosistem menyeluruh merangkumi kemudahan infrastruktur, tenaga kerja mahir serta sokongan kerajaan negeri menjadikan Johor kekal sebagai destinasi utama pilihan pelabur asing dan tempatan,” katanya. – UTUSAN 

ONN Hafiz Ghazi dan Tengku Zafrul melakukan gimik perasmian sempena Majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus  di Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J), Forest City 1, Gelang Patah, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN