Tarif AS cetus kebimbangan pelabur industri semikonduktor di Pulau Pinang

Tarif AS cetus kebimbangan pelabur industri semikonduktor di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar berkaitan penganjuran Hari Buletin 4.0 bersama TLDM dan Love Penang Run 2025 di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Desas-desus mengenai kemungkinan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sehingga 100 peratus terhadap produk semikonduktor dijangka mencetuskan ketidakpastian dalam kalangan pelabur industri berkenaan di negara ini, khususnya di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, pengumuman rasmi berhubung tarif itu masih belum dibuat dan kerajaan negeri menyerahkan perkara tersebut kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk tindakan lanjut.

“Yang Berhormat Menteri MITI (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) telah pun memberi penjelasan pagi ini dan kita harap usaha-usaha di peringkat kementerian dapat diteruskan bagi memastikan tarif sifar ke atas produk semikonduktor ini dapat dikekalkan.

“Namun, pengumuman atau spekulasi ini telah menimbulkan ketidaktentuan yang boleh menyebabkan pelabur menangguhkan keputusan pelaburan mereka,” katanya ketika sidang akhbar berkaitan penganjuran Hari Buletin 4.0 bersama TLDM dan Love Penang Run 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ketidaktentuan berkenaan bukan sahaja mencabar keyakinan pelabur, malah, boleh menjejaskan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama semikonduktor di rantau ini.

“Saya baru sahaja selesai satu mesyuarat penyelarasan penting bagi mempersiapkan negeri menerima pelaburan besar. Walaupun masih di peringkat awal, semua agensi berkaitan telah digerakkan untuk memastikan kita boleh memenangi pelaburan ini.

“InvestPenang dan Pusat Transformasi Negeri (PTC) juga kekal aktif dalam usaha mereka untuk membantu pelabur membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM191.4 bilion dalam tempoh lima tahun sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.

Kon Yeow berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelaburan yang direkodkan antara 2020 sehingga suku pertama tahun ini sekali gus menjadikan negeri itu antara destinasi utama pelabur dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

“Sepanjang tempoh lima tahun ini juga, kita berjaya menarik sebanyak 79,498 peluang pekerjaan hasil daripada pelaburan yang diluluskan.

“Pulau Pinang terus muncul sebagai hab pelaburan yang kukuh, terutamanya dalam sektor semikonduktor dan elektrikal dan elektronik (E&E) yang terus berkembang pesat pascapandemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN