Ainee Mustafa tidak kisah dengan bilangan pengikut media sosial - Utusan Malaysia

Ainee Mustafa tidak kisah dengan bilangan pengikut media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali kita buka akaun Instagram atau TikTok pelakon baru, perkara pertama yang kita lihat mesti jumlah pengikut mereka. Ada yang cecah ratusan ribu dan tidak kurang juga yang sudah memiliki jutaan peminat di alam maya.

Namun, berbeza pula ceritanya dengan seorang pelakon baru yang dikenali sebagai Ainee Mustafa ini. Dia langsung tidak kisah walaupun pengikut di media sosial miliknya sangat sedikit dan akaunnya tidak ‘gempak’ seperti artis lain.

Bagi wanita berusia 29 tahun ini, dia memilih untuk tidak ambil pusing tentang angka pengikut yang ada. Apa yang paling penting bagi dirinya sekarang adalah fokus kepada bakat dan mutu lakonan di depan kamera.

Suatu masa dahulu, dia pernah mencuba nasib dalam bidang muzik dengan menganggotai sebuah kumpulan pop bernama Juwita. Kumpulan di bawah naungan pasangan selebriti Akim dan Stacy itu bagaimanapun hanya bertahan selama lapan bulan sahaja.

“Masa bersama Juwita itu, impian saya memang sangat tinggi untuk kembangkan bakat dalam industri nyanyian. Tapi malangnya, kami hanya mampu bertahan selama lapan bulan sebelum kumpulan itu terpaksa dibubarkan.

“Bila perkara itu tidak menjadi, harapan saya waktu itu terus punah dan menganggap mungkin Tuhan mahu cakap ini bukan jalan saya. Kecewa dengan kegagalan tersebut, saya terus ambil keputusan untuk menyepikan diri dan menghilangkan diri dalam industri buat seketika,” katanya kepada Pancaindera.

Selepas impiannya dalam bidang nyanyian disifatkannya semakin malap, Ainee mengambil keputusan berehat selama setahun dari dunia hiburan. Waktu itu, dia memilih untuk bekerja makan gaji di sebuah syarikat korporat sebagai seorang moderator kandungan.

“Masa itu saya rasa macam dunia seni ini mungkin bukan untuk saya lagi dan saya perlu terima kenyataan. Jadi, saya pilih untuk biasakan buat kerja pejabat dan kerja belakang tabir sahaja termasuklah pernah kerja dengan pihak TikTok.

“Keputusan itu saya buat pun sebab emak saya sudah bising dan suruh saya berhenti kejar impian yang tidak pasti ini. Saya sendiri pun cakap pada emak yang saya sudah tidak lagi mahu terlibat dengan dunia artis,” katanya.

Bagaimanapun, minat yang mendalam dalam bidang seni ini rupa-rupanya tidak pernah padam dalam diri Ainee. Setiap kali ternampak iklan uji bakat di media sosial, hatinya pasti akan terdetik untuk mencuba lagi.

Malangnya, fasa mencuba itulah yang memberi tamparan hebat apabila dia sering ditolak oleh pihak produksi. Alasan yang diberikan oleh mereka sangat mengecewakan iaitu kerana dia tidak mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

“Bila saya tanya apa komen mereka tentang lakonan saya, mereka kata sebenarnya lakonan saya sudah okay dan cuma perlu digilap sedikit sahaja. Tapi masalah utama mereka adalah sebab saya tidak ada pengikut media sosial yang kuat.

“Saya ditolak banyak kali dalam uji bakat terbuka sama ada untuk filem atau drama sehinggakan rasa macam mahu putus asa semula. Memang realitinya sekarang kalau pengikut sikit, peluang itu jadi sangat susah sebab industri pandang benda itu,” jelasnya.

Namun, Ainee tetap berkeras tidak mahu menggunakan jalan pintas dengan membeli pengikut palsu semata-mata untuk mengaburi mata pengarah. Baginya, angka yang dibeli itu langsung tidak organik dan tidak akan mampu membantu meningkatkan mutu lakonannya.

“Saya sebenarnya sudah selidik tentang perbuatan beli pengikut ini, tetapi saya sedar lambat-laun nanti rahsia itu akan terbongkar juga. Lagipun, dalam hal ini kita sebenarnya mahu buat siapa kagum dengan jumlah nombor tersebut?

“Bagi saya, mereka itu semua sekadar angka dan tidak memberi sebarang makna kalau bakat kita kosong. Kalau orang rasa berminat dan mahu tengok kita berlakon, mereka akan tengok juga akhirnya tanpa perlu kita menipu,” ujarnya.

Dalam pada itu, siapa sangka sikap Ainee yang tidak pernah berputus asa itu membuahkan hasil apabila dia menghadiri satu uji bakat baru-baru ini. Tanpa diduga, syarikat Key Billion Production telah memilihnya untuk memegang watak utama sebagai heroin dalam projek terbaharu mereka.

“Masa saya dapat tahu saya terpilih untuk watak utama itu, saya menangis sepanjang jalan dalam kereta sewaktu memandu balik ke rumah. Saya langsung tidak percaya sebab ingatkan cuma akan dapat watak sampingan lagi sekali.

“Saya rasa sangat bersyukur sebab rupa-rupanya masih ada pihak produksi yang hargai bakat berbanding jumlah pengikut di media sosial. Bagi saya, pengikut ini nombor dua sebab kalau orang betul-betul mahu tengok kita berlakon, mereka akan cari juga.

“Lihat sahaja artis luar negara contohnya pelakon K-Drama, mana ada mereka memiliki pengikut sehingga berjuta-juta orang. Tapi kalau tengok dalam akaun mereka, hantaran langsung kosong dan tidak ada gambar apa-apa.

“Walaupun media sosial mereka kosong, tetapi kehadiran mereka di dalam drama atau filem itu sangat luar biasa dan memberi impak.

“Saya kalau boleh mahu jadi seperti itu, biarlah pengikut tidak ramai asalkan orang suka tengok lakonan kita,” tambahnya.

Ainee juga menganggap peluang yang datang ini sebagai satu rezeki dan cabaran besar yang tidak patut disia-siakan sama sekali. Dia mahu membuktikan kepada khalayak ramai bahawa pelakon tanpa publisiti murahan juga mampu berdiri sama tinggi dengan artis sedia ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN