PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas dipercayai memiliki pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat menerusi operasi khas hasil risikan media sosial atau Open Source Intelligence (OSINT) berkaitan penularan gambar seorang individu memegang pasport Bangladesh bersama pasport Malaysia.
Katanya, suspek aktif di beberapa platform media sosial termasuk Facebook, TikTok dan Threads.
“Analisis terhadap kandungan yang dimuat naik menunjukkan individu berkenaan dipercayai bekerja dalam sektor pembinaan di Malaysia.
“Pada masa sama, dia turut memaparkan pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya, sekali gus menimbulkan keperluan untuk tindakan pengesanan dan pengesahan segera oleh pihak berkuasa,” katanya hari ini.
Menurut JPN, pihaknya bersama Jabatan Imigresen (JIM) menubuhkan pasukan petugas bagi menjalankan risikan, mengesan lokasi serta mengenal pasti identiti suspek.
Katanya, lokasi suspek berjaya dikenal pasti dalam tempoh kurang 24 jam sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
JPN berkata, suspek ditahan di sebuah kontena sekitar Jalan Kuantan-Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pada pukul 6.30 petang, 4 Julai lalu.
Katanya, suspek memiliki pasport Bangladesh dan turut ditemukan bersama pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen tersebut diperoleh, tujuan pemilikannya serta sama ada terdapat unsur penyalahgunaan dokumen perjalanan, penyamaran identiti atau kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya, suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan untuk tindakan dan siasatan lanjut. – UTUSAN








