PETALING JAYA: Rakyat Johor wajar mempertimbangkan tawaran Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan kerajaan yang bakal memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Pengarah Komunikasi Keadilan Selangor, Dr. Mohd. Fauzi Fadzil berkata, tawaran selain PH dan Barisan Nasional (BN) dilihat tidak relevan kerana gabungan politik lain tidak bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak menggambarkan cita-cita untuk membentuk kerajaan.
Beliau berkata, setakat ini hanya PH dan BN dilihat sebagai pesaing utama untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, manakala gabungan lain lebih cenderung berperanan sebagai pembangkang.
“Rakyat Johor wajar mempertimbangkan tawaran oleh PH dalam menentukan kerajaan yang bakal memerintah di negeri Johor.
“Tawaran selain daripada itu adalah tidak relevan kerana tidak dapat dilaksanakan sebagai pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd. Fauzi berkata, penentuan kemenangan PRN Johor kali ini juga banyak bergantung kepada pengundi belia berusia 18 hingga 30 tahun yang merangkumi kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Katanya, golongan itu signifikan dalam menentukan kerajaan negeri kerana tidak terikat dengan kesetiaan kepada mana-mana parti politik, sebaliknya lebih cenderung memilih calon yang memenuhi kehendak mereka.
Beliau berkata, kajian dalam bidang sains politik menunjukkan undi belia mudah berubah bergantung kepada calon yang ditawarkan, manakala dapatan Institut Darul Ehsan (IDE) pula mendapati pengundi belia lebih cenderung menilai calon berbanding parti.
“Melihat kepada kecenderungan ini, PH adalah pilihan yang sangat sesuai untuk pengundi belia di Johor,” katanya.
Menurut Mohd. Fauzi, PH menawarkan barisan calon yang dekat dengan citra belia Johor apabila menampilkan 36 calon Melayu atau 64.3 peratus, 16 calon Cina atau 28.6 peratus dan empat calon India atau 7.1 peratus.
“Penyusunan calon itu selari dengan taburan demografi Johor serta sesuai dengan kecenderungan pengundi belia yang tidak menyukai politik berasaskan perkauman.
“Pendekatan itu juga penting kerana lebih separuh atau 30 kerusi DUN di Johor dikategorikan sebagai kerusi campuran,” katanya.
Mohd. Fauzi berkata, PH turut mengetengahkan calon wanita paling ramai berbanding gabungan politik lain apabila menampilkan 13 calon wanita atau 23 peratus daripada keseluruhan calon.
Katanya, komitmen itu seiring dengan pemikiran golongan belia yang lebih terbuka dalam mengangkat peranan wanita setaraf lelaki dalam kepimpinan.
“PH pernah meletakkan seorang wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tidak mustahil untuk PH meletakkan seorang calon wanita sebagai Menteri Besar Johor sekiranya diberikan peluang,” katanya.
Beliau berkata, golongan belia yang menjadi penentu atau ‘king maker’ dalam PRN Johor perlu menilai gabungan politik yang benar-benar serius mengangkat cita rasa mereka dalam pentadbiran negeri.
Katanya, PH merupakan gabungan politik yang menawarkan paling ramai calon belia berbanding gabungan lain.
“Calon-calon yang ditawarkan oleh PH mempunyai pemikiran dan latar belakang yang sama dengan pengundi belia di Johor.
“Golongan belia harus sedar dan menolak pemikiran kolot, selain memilih PH demi memberi isyarat jelas bahawa zaman baharu penglibatan belia dalam kepimpinan dan pentadbiran Johor sudah bermula,” katanya. – UTUSAN










