PETALING JAYA: Penangguhan pembukaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dilihat bakal memberi kesan langsung terhadap operasi lebih 10,000 unit peralatan prime movers (kepala lori) dan treler.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Haulier Malaysia (AMH), Mohamad Azuan Masud berkata, pemilik treler kini terpaksa bergantung kepada laluan sedia ada yang semakin sesak.
Katanya, situasi ini bukan sahaja meningkatkan masa perjalanan tetapi turut menambah kos bahan api dan penyelenggaraan kenderaan serta menjejaskan jadual penghantaran.
“WCE adalah infrastruktur strategik yang dirancang untuk menyokong kelancaran sektor logistik di sepanjang pantai barat.
“Penangguhan ini memberi kesan besar kepada pengusaha pengangkutan, terutama yang memerlukan akses pantas ke dan dari Pelabuhan Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, laluan yang ditutup melibatkan persimpangan SAE ke Persimpangan FHR 2 (Klang/Shah Alam) yang difahamkan berpunca daripada isu pengambilan tanah di Kampung Jawa.
Menurut Mohamad Azuan, seksyen berkenaan merupakan laluan strategik yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan di jalan-jalan persekutuan, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Shah Alam, khususnya bagi pergerakan kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.
“Justeru kami menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tanah bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual,” jelasnya. – UTUSAN










