AI lemahkan keupayaan berfikir?

AI lemahkan keupayaan berfikir?

KECERDASAN buatan (AI) seharusnya berfungsi sebagai alat yang membantu manusia, bukannya menggantikan proses berfikir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) generatif seperti ChatGPT, Claude, Gemini dan DeepSeek mengubah cara manusia bekerja, belajar serta menghasilkan idea.

Tugasan yang dahulunya mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan dalam beberapa minit hanya dengan satu arahan.

Teknologi ini sememangnya meningkatkan kecekapan, namun persoalan yang semakin mendapat perhatian ialah sama ada AI benar-benar mengukuhkan pemikiran manusia atau menjadikan kita semakin bergantung kepada mesin.

Data global menunjukkan penggunaan AI berkembang dengan pantas. Institut Ekonomi AI Microsoft (2025) melaporkan hampir satu perenam penduduk dunia menggunakan AI generatif dalam pekerjaan. Sementara itu, Microsoft dan LinkedIn (2024) mendapati 90 peratus pengguna mengakui AI meningkatkan produktiviti, dapat menumpukan perhatian kepada tugasan bernilai tinggi (85 peratus) dan berasa lebih kreatif (84 peratus).

Di Malaysia, trend ini juga semakin ketara. EY Work Reimagined Survey (2025) melaporkan 93 peratus pekerja menggunakan AI generatif dalam tugasan harian, manakala 76 peratus menyatakan produktiviti meningkat.

Kerajaan turut memperkukuh agenda AI menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO), dengan teknologi ini dijangka menyumbang sehingga AS$113.4 bilion (RM462 bilion) kepada produktiviti negara.

Namun, kebergantungan yang berlebihan boleh menghakis keupayaan berfikir. Fenomena pemindahan beban kognitif berlaku apabila manusia menyerahkan proses mengingat, menganalisis dan membuat keputusan kepada mesin.

Kajian MIT Media Lab (2025) mendapati pengguna ChatGPT menunjukkan aktiviti otak, penglibatan memori dan tahap kreativiti yang lebih rendah berbanding individu yang menyelesaikan tugasan tanpa bantuan AI.

Cabaran ini lebih ketara dalam sektor pendidikan. Stanford AI Index (2026) melaporkan sekitar 80 peratus pelajar pernah menggunakan AI generatif untuk membantu pembelajaran. Walaupun teknologi ini memudahkan pemahaman dan mempercepat penyediaan tugasan, namun pergantungan tanpa usaha memahami kandungan boleh menjadikan proses pembelajaran lebih cetek.

Pelajar mungkin memperoleh jawapan yang betul tetapi gagal menguasai kemahiran berfikir kritis, menganalisis dan menyelesaikan masalah secara berdikari.

AI seharusnya berfungsi sebagai alat yang membantu manusia, bukannya menggantikan proses berfikir. Keupayaan menilai, mempertikai, membuat pertimbangan dan menghasilkan idea baharu tetap memerlukan kebijaksanaan insan.

Justeru, cabaran sebenar ialah memastikan manusia terus melatih akal untuk berfikir secara kritis, kreatif dan berhikmah.

AI boleh mempercepatkan kerja tetapi hanya manusia mampu menggunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang benar serta bertanggungjawab. -UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MAZNI OMAR
Pensyarah,
Pusat Pengajian Pengkomputeran,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN