“Rotan tanda sayang.” Ungkapan itu sering dijadikan alasan untuk mempertahankan amalan memukul anak sebagai satu bentuk disiplin.
Malah, masih ramai ibu bapa percaya hukuman fizikal merupakan cara paling berkesan untuk mendidik anak supaya lebih patuh dan berkelakuan baik, sedangkan tindakan itu sebenarnya boleh memberi kesan buruk terhadap perkembangan emosi, mental dan tingkah laku mereka.
Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, dari sudut psikologi perkembangan, memukul bukanlah kaedah yang mendidik kerana ia hanya menghentikan tingkah laku negatif secara sementara akibat rasa takut, bukannya kerana anak memahami kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, apabila kanak-kanak dipukul, otak mereka dikuasai oleh emosi takut sehingga proses pembelajaran yang sihat tidak dapat berlaku.
“Anak berhenti melakukan kesalahan kerana takut kepada kesakitan, bukan kerana mereka faham mengapa perbuatan itu salah.
“Bila kita pukul, otak logik anak akan terpadam kerana dikuasai rasa takut, jadi tiada proses pembelajaran yang sihat berlaku pada waktu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jejas emosi dan perkembangan mental
Dalam jangka pendek, hukuman fizikal boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kekeliruan emosi kerana individu yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bertukar menjadi punca ancaman.
Keadaan itu menyebabkan mereka mula menyembunyikan kesilapan, menipu atau tidak bercakap benar semata-mata mahu mengelakkan diri daripada dipukul.
Dalam jangka panjang pula, kesan yang ditinggalkan jauh lebih besar apabila ia boleh menjejaskan harga diri, perkembangan otak serta keupayaan mengurus emosi.
“Mereka membesar dengan kepercayaan bahawa diri mereka tidak cukup baik atau hanya bernilai jika sentiasa sempurna.
“Kekerasan fizikal yang diterima secara berulang boleh mengganggu perkembangan sel otak. Kesannya mungkin hanya kelihatan apabila mereka dewasa, termasuk kesukaran mengurus emosi dan penurunan fungsi kognitif,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ada ibu bapa menganggap hukuman fizikal yang ringan masih boleh diterima, batas antara disiplin dan penderaan perlu difahami dengan jelas.
Menurutnya, hukuman yang dilakukan ketika ibu bapa berada dalam keadaan marah bukan lagi bertujuan mendidik, sebaliknya menjadi saluran untuk melepaskan kemarahan dan tekanan emosi.
“Jika pukulan meninggalkan kesan lebam, luka atau dilakukan pada bahagian sensitif seperti muka dan kepala, ia sudah melepasi batas disiplin,” jelasnya.
Kitaran trauma antara generasi
Nurfarahira berkata, antara faktor utama ibu bapa masih menggunakan hukuman fizikal ialah kerana mereka mengulangi corak asuhan yang diterima ketika kecil.
Katanya, keadaan itu dikenali sebagai kitaran trauma antara generasi, iaitu apabila ibu bapa membesarkan anak menggunakan kaedah yang sama seperti yang pernah diterima kerana tidak mengetahui pendekatan disiplin yang lebih sesuai.
Selain itu, tekanan hidup, masalah kewangan, beban kerja dan kurang sokongan daripada pasangan turut menyumbang kepada keletihan emosi atau parental burnout sehingga menyebabkan mereka lebih mudah hilang sabar.
“Ada juga ibu bapa yang mahukan hasil yang cepat. Memukul dilihat sebagai jalan pintas kerana anak terus diam, tetapi mereka terlupa kesan jangka panjangnya sangat mahal,” katanya.
Hukuman fizikal juga boleh membentuk corak tingkah laku serta personaliti kanak-kanak apabila mereka membesar.
Menurutnya, sesetengah kanak-kanak akan bertindak balas secara agresif kerana menganggap kekerasan ialah cara menyelesaikan konflik, manakala ada yang menjadi terlalu pendiam, memencilkan diri dan hilang keyakinan diri.
“Dalam psikologi, tindak balas ini dikenali sebagai mekanisme fight, flight atau freeze apabila seseorang berdepan ancaman,” katanya.
Konsep disiplin positif
Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa mengamalkan konsep disiplin positif sebagai pendekatan yang lebih berkesan dalam membentuk tingkah laku anak tanpa menggunakan kekerasan.
Menurutnya, disiplin positif memberi penekanan kepada pembelajaran, tanggungjawab dan pembangunan kemahiran mengurus emosi, berbanding hukuman yang berasaskan ketakutan.
Sebagai contoh, jika anak menumpahkan air, ibu bapa tidak perlu memarahi atau memukul mereka.
Sebaliknya, berikan kain dan minta anak mengelap sendiri tumpahan itu supaya mereka memahami akibat daripada perbuatan tersebut serta belajar bertanggungjawab.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknik time-in, iaitu menemani anak ketika mereka sedang marah atau kecewa bagi membantu mereka menenangkan emosi sebelum berbincang tentang tingkah laku yang dilakukan.
Selain itu, ibu bapa digalakkan memberi pujian dan penghargaan terhadap tingkah laku positif kerana kanak-kanak secara semula jadi mencari perhatian daripada orang dewasa.
Mengulas mengenai anak yang sukar dikawal atau sering menunjukkan tingkah laku mencabar, beliau berkata langkah pertama yang perlu dilakukan bukanlah mengawal anak, sebaliknya mengawal emosi sendiri.
“Ibu bapa perlu berhenti seketika, tarik nafas dan ingatkan diri bahawa anak bukan sengaja mahu menyusahkan kita. Mereka sendiri sedang bergelut untuk menguruskan emosi.
“Apabila ibu bapa sudah tenang, turun ke paras mata anak, pegang tangan atau peluk mereka jika diizinkan. Validasi emosi mereka terlebih dahulu sebelum menetapkan sempadan dengan tegas tetapi penuh kasih sayang,” katanya.
Pulihkan kepercayaan anak
Ujarnya, hubungan antara ibu bapa dan anak masih boleh dipulihkan sekiranya hukuman fizikal berlaku akibat ibu bapa hilang sabar.
Menurutnya, dalam psikologi keluarga, proses tersebut dikenali sebagai rupture and repair, iaitu usaha membaiki semula hubungan yang terjejas melalui komunikasi yang jujur dan penuh empati.
“Ibu bapa perlu mengakui kesilapan, meminta maaf secara ikhlas dan menjelaskan bahawa tindakan memukul bukanlah sesuatu yang sepatutnya dilakukan.
“Terangkan kepada anak mereka memang melakukan kesilapan, tetapi ibu bapa juga tidak sepatutnya menggunakan kekerasan. Cara ini mengajar mereka tentang tanggungjawab serta kepentingan memohon maaf apabila melakukan kesilapan,” jelasnya.
Beliau berkata, ibu bapa dan guru juga perlu peka terhadap tanda-tanda trauma akibat hukuman fizikal kerana kesannya tidak semestinya dapat dilihat melalui kecederaan pada tubuh badan.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah perubahan tingkah laku secara mendadak, kembali kencing malam atau menghisap jari, mudah terkejut, kerap mengalami mimpi ngeri, prestasi akademik yang semakin merosot serta menjadi terlalu takut untuk berkata ‘tidak’ kerana bimbang melakukan kesilapan.










