KWAP mangsa penipuan eFishery, labur hampir RM200 juta

KWAP mangsa penipuan eFishery, labur hampir RM200 juta

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjadi mangsa sebuah syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, susulan syarikat itu memanipulasi laporan kewangan bagi menarik pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan eFishery dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Beliau berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.

“Pelaburan dalam eFishery turut disertai oleh beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa yang terkemuka termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.

“Pelabur-pelabur ini juga mempunyai proses penilaian, kawalan dan tadbir urus pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kerajaan menyatakan apakah bentuk pertanggungjawaban dan akauntabiliti yang telah atau akan diambil terhadap ahli Lembaga Pengarah, panel pelaburan dan pengurusan tertinggi KWAP berhubung kelulusan dan pemantauan pelaburan dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar membabitkan dana persaraan penjawat awam.

Anwar berkata, langkah tegas daripada segi tindakan undang-undang, pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman dan juga pengukuhan kawalan sudah dilakukan oleh konsortium pelaburan termasuk KWAP.

Katanya, KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan berkenaan dan hasil semakan sudah dibentangkan kepada Lembaga KWAP untuk penelitian dan perbincangan terperinci.

“Susulan perbincangan itu, tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi.

“KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti. Langkah penambahbaikan sudah dilaksanakan yang bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan pelaburan akan datang,” katanya.

Sebelum ini, KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023.

Syarikat pemula niaga itu dipromosikan sebagai firma akuakultur berasaskan teknologi yang dikatakan mampu memodenkan industri penternakan ikan dan udang menerusi penyelesaian digital.

Bagaimanapun, tahun lalu, pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung, Indonesia selepas disabitkan bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN