MENJADI pemimpin bukan sekadar memegang jawatan atau memiliki kuasa membuat keputusan, sebaliknya memikul amanah besar untuk membimbing organisasi ke arah kecemerlangan.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Masyarakat 5.0 dan kecerdasan buatan (AI), pemimpin perlu memiliki ilmu, pengalaman serta kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang tepat demi kelangsungan organisasi.
Pemimpin yang berkesan ialah pemimpin yang menjadi suri teladan. Mereka bukan sahaja dinilai melalui pencapaian organisasi tetapi juga melalui keperibadian, integriti dan cara berinteraksi dengan warga kerja.
Sikap yang berhemah, komunikasi yang jelas serta keupayaan memahami keperluan pekerja mampu membina kepercayaan dan rasa hormat.
Apabila kepercayaan ini wujud, pekerja akan melaksanakan tugas bukan kerana arahan semata-mata tetapi kerana yakin terhadap kewibawaan pemimpin mereka.
Sebaliknya, kegagalan memimpin dengan hikmah boleh menjejaskan suasana kerja. Pemimpin yang gemar bercakap tanpa pertimbangan, mengabaikan pandangan pekerja atau terlalu menonjolkan kedudukan akan mewujudkan jurang serta menghakis semangat kerja berpasukan.
Seperti pepatah Melayu, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa,’ komunikasi yang tidak berhemah mampu merosakkan hubungan dalam organisasi.
Seorang pemimpin juga perlu bijak menyesuaikan gaya kepimpinannya mengikut keadaan. Ketegasan penting untuk memastikan disiplin dan matlamat organisasi tercapai, namun empati serta sifat prihatin sama penting dalam membina hubungan yang harmoni.
Keseimbangan antara ketegasan dan nilai kemanusiaan inilah yang membezakan pemimpin berwibawa daripada pemimpin yang hanya bergantung pada kuasa jawatan.
Hakikatnya, ukuran sebenar kepimpinan dapat dilihat melalui legasi yang ditinggalkan. Pemimpin yang berintegriti akan terus dihormati dan dikenang walaupun tidak lagi memegang jawatan, manakala pemimpin yang gagal melaksanakan amanah akan mudah dilupakan.
Oleh itu, setiap pemimpin perlu memanfaatkan amanah yang diberikan untuk membina budaya kerja yang positif, memperkasa potensi warga organisasi dan meninggalkan legasi yang memberi manfaat kepada generasi seterusnya. –UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Profesor Pengurusan Sumber Manusia
dan PengurusanOrganisasi
Universiti Kebangsaan Malaysia










