Suri rumah didakwa bunuh bayi tujuh bulan

Suri rumah didakwa bunuh bayi tujuh bulan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didakwa membunuh anak angkatnya berusia tujuh bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Siti Subrina Imran, 37, membunuh bayi perempuan itu pada pukul 7 pagi, 30 Julai lalu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Tertuduh bagaimanapun terlepas hukuman sebat minimum 12 kali kerana dia merupakan seorang wanita.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iman Nurhidayah Ezani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Siti Subrina hanya menganggukkan kepalanya tanda memahami pertuduhan yang telah dibacakan terhadapnya.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Oktober ini.

Menurut laporan media, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, pihaknya menerima laporan seorang bayi perempuan maut selepas ditemui dalam keadaan kebiruan dan tidak sedarkan diri serta penuh lebam di badan di kondominium tersebut.

Siasatan polis mendapati kecederaan yang dialami mangsa berpunca daripada tangisan berterusan bayi berkenaan yang menyebabkan ibu angkatnya berasa tertekan lalu menganiayanya.

Hasil bedah siasat mendapati bahagian kepala bayi tersebut mengalami patah tengkorak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN