Suara rakyat manifesto perjuangan Yang Berhormat di Parlimen

Denyut nadi rakyat jadi penggerak manifesto perjuangan Yang Berhormat

WAKIL rakyat perlu membawa isu kawasan mereka ke Parlimen kerana itu janji mereka semasa berkempen. – Gambar Parlimen Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengapa institusi Parlimen penting dalam politik demokrasi? Ini kerana Parlimen adalah simbolik suara rakyat dibawa untuk perbincangan negara. Segala masalah rakyat dibincangkan di Parlimen oleh wakil-wakil rakyat berdasarkan manifesto semasa berkempen .

Sebab itu dalam amalan demokrasi, jumlah wakil rakyat bergantung kepada jumlah rakyat penduduk sesebuah negara atau negeri kerana konsep Parlimen atau majlis mesyuarat negeri ada perwakilan. Bermakna rakyat memilih wakil mereka untuk bersuara di Parlimen.

Ini menunjukkan peranan wakil-wakil rakyat di Parlimen sangat penting dan mereka wajar memahami peranan dan tanggungjawab tersebut.
Ada beberapa tokoh terkenal dunia pernah membuat ungkapan bersejarah dan masing-masing diingati kerana berkait dengan sesuatu peristiwa termasuk oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) ke- 16, Abraham Lincoln.

Beliau berucap di Gettysburg Address iaitu ucapan terkenal yang disampaikannya pada 19 November 1863 semasa American Civil War di Gettysburg National Cemetery.

Walaupun hanya 272 patah perkataan sahaja, dan mengambil masa kira-kira dua minit untuk disampaikan, ia dianggap antara ucapan politik paling berpengaruh dalam sejarah.
Lincoln hanya bercakap selama kira-kira dua minit sahaja, berbanding ucapan utama majlis yang berlangsung hampir dua jam.

Frasa of the people, by the people, for the people menjadi antara ungkapan politik paling terkenal di dunia.

Demikian juga Perdana Menteri British, Winston Churchill di Parlimen negara berkenaan iaitu iaitu “kita tidak akan sesekali menyerah kalah,” yang diucapkan ketika Britain berdepan ancaman besar daripada tentera Nazi selepas pengunduran tentera Berikat daripada Dunkirk.

Ucapan Churchill terkenal kerana beberapa sebab antaranya termasuklah bahasa yang ringkas tetapi kuat, mengangkat semangat rakyat ketika perang, menggabungkan keberanian, harapan dan patriotisme, disampaikan dengan gaya yang tegas dan berwibawa.

Ramai sejarawan menganggap ucapan-ucapan Churchill pada tahun 1940 sebagai antara ucapan politik paling berpengaruh dalam sejarah moden.

Seorang lagi ahli politik terkenal yang juga penulis dan pemikir iaitu Edmund Burke sering dianggap sebagai antara pengasas pemikiran konservatif moden.

Beliau pernah mengungkapkan beberapa petikan menarik tetapi bagi saya antara yang wajar dihayati dalam konteks pemerintahan demokrasi berparlimen adalah seorang wakil rakyat tidak seharusnya hanya mengikut kehendak pengundi secara membuta tuli, tetapi perlu menggunakan pertimbangan dan kebijaksanaannya sendiri demi kepentingan negara.

Pandangan ini masih sering dipetik dalam perbahasan tentang peranan ahli parlimen di seluruh dunia.

Mengapa kata-kata ahli politik menarik untuk dihayati. Ketika Parlimen Malaysia sedang bersidang sekarang dan ada pilihan raya negeri akan diadakan, ada baiknya wakil rakyat kita menilai semula tanggungjawab dan peranan mereka, yang bukanlah mewakili parti semata-mata, kerana yang lebih penting mereka adalah wakil kepada rakyat kawasan masing-masing.

Bawalah permasalahan rakyat kawasan masing-masing untuk dibincang dan diberi perhatian kerajaan.
Kita mempunyai 222 wakil rakyat di peringkat Parlimen atau Persekutuan dan lebih 600 wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kadangkala ada yang mewakili DUN sekali gus Parlimen.

Ada beberapa perkara sebagai wakil rakyat mereka perlu ambil kira iaitu cara berbahas, perlulah banyak membaca supaya mengetahui banyak isu dan perkembangan semasa, dan sebagai rakyat Malaysia, perlu mahir berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Malangnya, seringkali kita melihat segelintir wakil rakyat berbahas di Parlimen dengan penuh emosi , tidak mahir berbahasa Melayu, membuat tuduhan dan dakwaan melulu.

Mungkin mereka mendakwa imuniti yang dimiliki di Parlimen menjadi lesen mengata sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan isu rakyat atau sekadar ‘melalak’ meraih populariti.
Ini sama ada akan memberi kelebihan kerana semakin popular bagi mengekalkan kedudukan dalam hati pengundi masing-masing atau kerajaan melihatnya sebagai berjuang untuk rakyat dan mudah mendapat laba politik.

Adakah pengundi mahu wakil mereka berbuat demikian, cabar-mencabar mendakwa itu dan ini dan berhujah tanpa fakta sehingga sering ditegur Speaker : “Peraturan mesyuarat, peraturan mesyuarat”.

Bayangkan wakil rakyat berucap atau berbahas tanpa fakta, tidak membaca, maka akan bertanya soalan lisan yang bersimpang siur. Itu belum mengambil kira segelintir wakil rakyat yang berucap menggunakan bahasa berterabur. Ini memalukan tapi pernah berlaku.

Seorang bekas wakil rakyat yang lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, Tan Sri Lee Lam Thye mengingatkan wakil rakyat supaya menjaga wibawa dan integriti semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Katanya, wibawa dan integriti penting dijaga supaya mereka menjadi teladan kepada yang lain.

Seperkara lagi, kata beliau, adalah peranan dan tanggungjawab wakil rakyat yang harus mereka sedar sebagai penggubal undang-udang.

“Mereka harus tahu peranan dan tanggungjawab sebagai penggubal undang undang untuk dibahas sebelum ia dikuat kuasakan.
Kepada beliau, selain berbahas di Parlimen yang membawa suara rakyat, mereka yang dipilih di kawasan masing-masing perlu turun melawat kawasan dan mendengar suara rakyat.

Membincangkan isu sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan pula berkongsi kekecewaan dengan sikap segelintir Ahli Parlimen yang mengamalkan politik adu domba dan suka menimbulkan persepsi tertentu bagi menarik sokongan.

Beliau mengakui pernah ditohmah sebagai Ahli Parlimen yang berbahas tanpa fakta, ‘tin kosong’ dan lebih kepada berbuat bising.

“Tapi yang kita biasa dengar ada ahli Dewan Rakyat suka menimbulkan persepsi supaya timbul kebencian tertentu, mengamalkan budaya politik sempit, menuduh orang lain, memfitnah tapi akhirnya mereka lah yang kena saman,” ujarnya .

Mungkin kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang mengatakan bahawa ahli politik Malaysia kini lebih kepada welfare officer walhal sepatutnya lawmaker, lebih menarik perhatian.

Beliau secara ringkasnya memberitahu meski pun kenyataannya sama seperti yang dinyatakan Lam Thye perlu mendengar masalah rakyat tetapi bagi Ab Rashid, banyak kali tugasan yang sepatutnya dibuat oleh agensi kerajaan tetapi ahli politik pulak yang jalankan tugas tersebut.

Jadi berlaku pertindihan (tugas) , dua pihak bekerja kepada perkara yang sama.

Kata beliau, ahli politik perlu fokus kepada undang-undang dan peraturan kerajaan yang ada.

Kata beliau, tugas sebenar wakil rakyat selaku lawmakers adalah berbahas semasa persidangan bukan ponteng atau senyap atau tidak hadir langsung.

“Rakyat juga tidak boleh berharap wakil mereka melakukan segala-galanya, sedangkan ahli poliitk itulah yang perlu memberitahu jentera atau agensi kerajaan mengenai permasalahan rakyat. Inilah realiti kerja wakil rakyat.

“Mereka boleh turun kelapangan meninjau masalah rakyat, tetapi itu bukan kerja hakiki atau keutamaan.

“Mereka penggubal dasar yang perlu hadir dan berbahas semasa persidangan manakala isu rakyat serah kepada agensi kerajaan, “ ujarnya.

Kata kata beliau ada benarnya, kerana segelintir wakil rakyat ini berbahas dengan dengan hujah yang cetek seolah-olah kurang membaca, tidak ada data atau fakta konkrit.

Banyak perbahasan pula lebih kepada emosi dan mencari kesalahan. Bagi saya wakil rakyat seperti yang disebut Lam Thye dan Ab Rashid wajar dihayati tetapi mereka juga perlu menyemak semula manifesto yang dijanjikan semasa berkempen. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN