ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar pelajar memupuk budaya kasih sayang dan hormat-menghormati serta menjauhi amalan membuli.
Titah Sultan Sallehuddin, perbuatan membuli sama ada secara fizikal mahupun emosi boleh membawa kemudaratan kepada semua pihak.
“Jadilah insan yang berilmu, berketerampilan serta sentiasa bersedia untuk berbakti kepada agama bangsa dan negara.
“Marilah kita membina budaya kasih sayang, hormat menghormati dan menolak segala bentuk perbuatan dan amalan yang tidak berakhlak seperti membuli.
“Semoga semua pelajar akan terus cemerlang dengan akhlak yang mulia di masa hadapan,” titah baginda pada Majlis Haflu Takrim Al Mutafawwiqin 2025 Lembaga Maktab Mahmud Kedah di Dewan Insaniah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin turut mengingatkan bahawa tanggungjawab pendidikan tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada guru dan sekolah semata-mata, sebaliknya ibu bapa, keluarga, masyarakat serta pelbagai institusi perlu berganding bahu membantu membentuk sahsiah anak-anak.
“Tanggungjawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuhnya tanggungjawab diletakkan kepada sekolah dan guru.
“Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain perlu bersama-sama bertanggungjawab menggembleng tenaga bagi membantu melengkapkan tugas guru dan tugas,” titah baginda.
Baginda juga menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci kepada kemajuan, seiring pandangan Imam al-Ghazali bahawa keimanan dan amal mesti berasaskan ilmu serta keikhlasan.
“Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa beriman dan beramal sumbernya adalah ilmu. Ilmu diperoleh dengan belajar. Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti amal kalau tiada keikhlasan. Oleh itu teruskanlah usaha menuntut ilmu, bukan sahaja di bangku sekolah tetapi juga sepanjang hayat,” titah baginda.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada seramai 140 pelajar cemerlang dari sekolah yang bernaung di bawah Lembaga Maktab Mahmud Kedah. – UTUSAN










